GEORGE TOWN : Seramai 1,405 pegawai dan anggota polis akan bertugas bagi memastikan kelancaran lalu lintas serta keselamatan orang ramai sepanjang berlangsungnya sambutan Thaipusam di negeri ini Selasa depan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihak polis juga menjangkakan kehadiran sekitar 100,000 pengunjung sepanjang sambutan itu berlangsung.
“Beberapa jalan utama di George Town akan ditutup sementara sempena sambutan Thaipusam ini dengan perarakan pedati dijadual bermula sehari lebih awal (Isnin).
“Bagi memastikan kelancaran acara, beberapa jalan utama itu akan ditutup juga pada hari Isnin bermula pukul 10 pagi sehingga Rabu (12 Februari) kira-kira pukul 12 tengah malam,” katanya di sini, hari ini.
Abdul Rozak berkata, antara jalan terlibat termasuk Jalan Gottlieb, Jalan Kebun Bunga, Jalan Burma, Jalan Brown, Jalan Tunku Abdul Rahman, dan Jalan Park.
Selain itu, katanya, Jalan Victoria juga akan ditutup pada hari Isnin bermula pukul 12 tengah malam semasa pergerakan pergi pedati manakala Jalan Lebuh Campbell pula akan ditutup pada pada pukul 12 tengah malam Rabu iaitu semasa perarakan balik.
“Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan orang ramai agar merancang perjalanan dan menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan trafik.
“Pengunjung juga digalakkan menaiki pengangkutan awam, termasuk perkhidmatan feri bagi mereka yang datang dari Seberang Perai,” katanya.
Tambah Abdul Rozak, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan, mematuhi arahan petugas serta mengelakkan pemakaian barang kemas yang berlebihan bagi mengurangkan risiko jenayah. –UTUSAN











