Waspada mutasi hMPV - Pakar

Malaysia perlu waspada mutasi hMPV – Pakar

Kerajaan disaran mengambil langkah proaktif dengan melakukan pemantauan terhadap pelancong dari negara yang dilanda wabak hMPV bagi mengelak berulangnya pandemik Covid-19 pada 2020.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia perlu berwaspada dengan penyebaran virus metapneumovirus manusia (hMPV) yang dibimbangi sudah bermutasi dan boleh menyebabkan negara sekali lagi terperangkap dengan pandemik wabak.

Pakar Kesihatan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, maklumat mengenai hMPV yang melanda China masih sedikit dan dibimbangi virus tersebut bermutasi.

Katanya, jika hMPV sudah bermutasi dibimbangi ia akan mendatangkan kesan seperti virus Covid-19 yang melanda dunia pada 2019.

Jelasnya, virus senang bermutasi dan setakat ini tidak ada rawatan khas atau vaksin untuk hMPV.

“hMPV sebelum ini boleh dianggap sebagai virus yang ringan, maknanya ia tidak menjadi punca kematian tetapi hanya menyebabkan batuk dan selsema kepada individu terjangkit.

“Sekarang ini kita tidak tahu dan takut sekiranya hMPV bertindak lebih bahaya seperti Covid-19. Dua virus itu juga mempunyai cara merebak yang sama iaitu melalui pernafasan dan sentuhan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan memaklumkan, sebanyak 327 kes positif virus hMPV dikesan berada di negara ini sepanjang tahun lalu berbanding 225 kes yang dicatatkan pada tahun 2023.

Malah, Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad mengesahkan tiada kes positif terbaharu direkodkan di Malaysia berkaitan virus hMPV.

Mengulas lanjut, Dr. Sharifa berkata, kerajaan perlu memastikan pemantauan terhadap hMPV ditingkatkan bagi mengelak sebarang kemungkinan yang akan berlaku.

“Mungkin ada pelancong dari China atau rakyat Malaysia sendiri yang baru pulang dari negara tersebut membawa hMPV. Jadi kerajaan kena lakukan pemantauan.

“Seperti semasa kita dilanda wabak Covid-19, jika didapati mempunyai gejala-gejala yang sama seperti hMPV, elakkan bercampur dengan orang ramai dan memakai pelitup muka apabila berada di tempat awam,” jelasnya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×