PETALING JAYA: Kerajaan perlu bersiap sedia dari awal dengan memperuntukkan bajet lebih untuk sektor pendidikan dengan sasaran negara menuju ke arah agenda pendidikan digital
Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Jasni Md. Kechik berkata, pengenalan sistem pembelajaran berkonsepkan digital tidak dapat direalisasikan sepenuhnya di Malaysia kerana masih terdapat banyak sekolah yang daif tidak mempunyai keperluan yang lengkap.
Justeru katanya, satu peruntukan khas perlu dirangka dalam Belanjawan 2024 dalam menyediakan peralatan komputer dan kemudahan internet yang laju dan murah kepada warga pendidikan.
“Ini akan melancarkan sesi pembelajaran digital dengan adanya pengenalan berasaskan pengkomputeran dalam sesi pembelajaran dan pengajaran (PDP) di sekolah.
“Selain itu, secara tidak langsung, warga pendidik menerapkan budaya pendigitalan dalam kalangan pelajar sekali gus bagi masyarakat Malaysia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sebelum ini, kerajaan meluncurkan Dasar Pendidikan Digital (DPD) yang bertujuan melahirkan pelajar berkemahiran digital dalam era Revolusi Industri 4.0.
Sehubungan itu, matlamat DPD ialah pelajar mampu berdaya saing menerusi peningkatan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari melalui konsep digitalisasi.
Dalam pada itu, Md Jasni berharap terdapat penyelesaian terhadap isu berhubung dengan rentetan daripada warga pendidikan yang dibebani tugas lain yang terpaksa dipikul di sekolah.
Beliau mencadangkan supaya kerajaan boleh memperuntukkan elaun yang dikhaskan kepada guru yang memegang beberapa jawatan lain.
“Dalam hal ini, perlu ada kerjasama daripada pihak Kementerian Pendidikan dalam menyenaraikan senarai tugas yang dianggap beban kepada tugas guru dan jumlah bayaran elaun yang setara dengan tanggungjawab yang disandang guru tersebut,” katanya.
Sementara itu, Pakar Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, kerajaan harus fokus peruntukan bagi isu wabak baharu yang berkemungkinan melanda negara.
“Oleh itu, negara perlu bersedia dari awal dengan penyediaan teknologi berkesan, ubat-ubatan dan vaksin lokal.
“Selain itu, fokuskan kepada isu penyakit tidak berjangkit termasuk obesiti, kesihatan mental, darah tinggi, sakit jantung, kencing manis dan kanser kerana bilangan pesakit dalam kes ini semakin meningkat.
“Pada masa yang sama, fokus juga isu berkait pengesanan kanser awal termasuk dalam kalangan kanak-kanak. Beberapa negeri di Malaysia masih tiada khidmat untuk kes onkologi kanak-kanak dan mereka terpaksa berulang ke tempat yang jauh untuk pengesanan dan pemeriksaan, di mana ia menyukarkan pesakit,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga perlu fokus kepada kesihatan primer dan kesihatan awam.
“Peranan ini jelas dilihat sewaktu wabak Covid-19 yang lalu di mana penekanan jagaan kesihatan awal dan kendiri akan mengurangkan risiko komplikasi kes dan penyakit,” ujarnya.
Katanya, Malaysia patut bersedia mengeluarkan vaksin dan ubatan sendiri untuk negara sekiranya terdapat wabak lain yang merebak, malah boleh dijual ke negara lain juga. – UTUSAN










