Tingkat pengeluaran padi tumpuan Kementerian Pertanian tahun ini

Tingkat pengeluaran padi tumpuan Kementerian Pertanian tahun ini

MOHAMAD Sabu melancarkan Amanat Tahun Baharu 2025 Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di Putrajaya, semalam. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Reformasi industri padi dan beras negara akan menjadi tumpuan utama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) pada tahun ini bagi memastikan kelangsungan bekalan padi dan beras tempatan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, reformasi itu juga bertujuan membawa industri berkenaan ke tahap lebih tinggi dengan mengutamakan pendekatan yang lebih lestari, berdaya saing dan mesra alam.

Jelasnya, langkah-langkah yang dilaksanakan secara berperingkat ketika ini adalah dengan mengambil kira pelbagai cabaran dalam rantaian nilai padi dan beras serta keperluan reformasi tadbir urus yang komprehensif.

“Dua sasaran kita yang masih lagi agak jauh untuk dicapai adalah padi beras dan industri ruminan. Dua perkara ini akan menjadi tumpuan utama pada tahun 2025 kerana kita tahu masalah penggunaan beras di Malaysia yang semakin meningkat.

“Jadi pengeluaran padi juga harus kita pertingkatkan kerana kita biasa capai pengeluaran beras negara sehingga 71 peratus, tetapi sekarang kira-kira 56 peratus,” katanya selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2025 KPKM di sini, semalam.

Kebelakangan ini pula katanya, berlaku banjir dan musim kemarau berturut-turut sehingga menyebabkan kekurangan hasil.

Dalam pada itu kata Mohamad, komponen yang perlu dititik beratkan sepanjang rantaian nilai industri padi beras negara termasuk pengukuhan infrastruktur pengairan di kawasan dalam dan luar jelapang padi negara.

Menurutnya, fokus perlu diberikan di dalam perancangan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) bagi memastikan ketersediaan pengairan di kawasan-kawasan penanaman padi seluruh negara.

Selain itu, katanya, tumpuan turut diberikan kepada pembangunan jelapang padi baharu di Sabah dan Sarawak, pembangunan semula sawah-sawah terbiar di seluruh negara dan penstrukturan semula sistem rantaian nilai industri padi dan beras. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×