PETALING JAYA: Isu elaun bertugas atas panggilan (on-call) melibatkan doktor perlu diselesaikan dahulu sebelum kerajaan melaksanakan sebarang sistem baharu bagi menambah baik perkhidmatan petugas kesihatan.
Jurucakap Hartal Doktor Kontrak berkata, elaun on-call iaitu sebanyak RM9.16 sejam masih lagi rendah dan kali terakhir disemak adalah 12 tahun lepas.
Katanya, pada Ogos tahun lalu, kerajaan mempertimbangkan untuk menaikkan kadar elaun sebanyak RM55 hingga RM65 seperti yang diusulkan Hartal Doktor Kontrak, tetapi sehingga kini masih tiada kata putus.
“Sebelum kerajaan melaksanakan sebarang langkah baharu, lebih elok sekiranya mereka menyelesaikan dahulu masalah lama yang tertunggak seperti menaikkan kadar elaun on-call yang rendah.
“Selain itu, kerajaan juga perlu mencari jalan bagaimana untuk menambah jumlah pegawai perubatan memandangkan negara masih berhadapan dengan isu itu,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia.
Menurutnya, antara sektor perubatan yang kekurangan petugas adalah doktor pakar dan penolong pegawai perubatan.
Semalam, kerajaan membatalkan cadangan sistem waktu bekerja berlainan (WBB), sistem syif baharu untuk petugas kesihatan untuk memberi laluan kepada sebuah kajian yang lebih mendalam dan menyeluruh.
Dalam pada itu, Pertubuhan Tweet Perubatan (MedTweetMY) berkata, kerajaan juga perlu mempertimbangkan cadangan penglibatan doktor di lapangan dalam penubuhan jawatankuasa khas bagi meneliti isu WBB secara menyeluruh.
MedTweetMY berkata, pandangan daripada wakil pelbagai pihak, termasuk doktor di lapangan dalam menangani kesan jadual waktu kerja yang fleksibel perlu diambil kira.
“Pandangan daripada doktor di lapangan perlu diambil kira supaya penjadualan melibatkan waktu bekerja lebih adil dapat dilaksanakan serta diterima oleh semua doktor perubatan,” katanya. – UTUSAN










