PASIR PUTEH: Enam sekeluarga kerugian mencecah RM800,000 selepas deretan lima rumah kedai milik keluarga tersebut musnah dalam kebakaran di Kampung Alor Pasir, di sini semalam.
Mangsa yang juga pemilik salah sebuah premis, Muhammad Firdaus Mustapha, 42, berkata, kejadian itu dipercayai bermula dari kawasan rumah sewa yang terletak bersebelahan premisnya kira-kira pukul 6.20 petang.
Katanya, kejadian itu disedarinya selepas terhidu bau asap dan bunyi letupan kecil dari rumah berkenaan.
“Saya terus menghubungi talian kecemasan dan cuba memadamkan kebakaran menggunakan air paip, namun gagal. Isteri, Siti Haslini Abdul Hamid, 42, membawa empat anak berusia tujuh bulan hingga 16 tahun keluar melalui pintu dapur untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, semalam.
Muhammad Firdaus yang juga pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang berkata, api semakin merebak 20 minit kemudian sehingga meranapkan empat pintu premis binaan kayu dan batu milik keluarganya
Dia menganggarkan kerugian yang dialami keluarganya mencecah RM800,000 melibatkan kelima-lima buah premis tersebut dan keluarganya ketika ini tinggal sehelai sepinggang.
“Saya pasrah dan reda dengan dugaan yang berlaku. Musabah ini di luar jangkaan yang menuntut ketabahan kami sekeluarga,” katanya.
Tinjauan di lokasi kejadian mendapati, lebih 12 kereta jenis Mercedes dan BMW yang dibaiki di bengkel kenderaan mewah berdekatan turut rosak dalam kebakaran itu.
Sementara itu, Pegawai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Azhar Elmi Mustofar berkata, kerja memadamkan kebakaran membabitkan 28 anggota bomba dan empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Tok Bali, Tanah Merah dan Ketereh.
Katanya, kerja memadam kebakaran ditamatkan pada pukul 12 tengah malam tadi dengan pelbagai usaha dilakukan termasuk menyedut bekalan air dari parit berdekatan.-UTUSAN










