PETALING JAYA: Seorang rakyat Malaysia yang sebelum ini terkandas di Gaza, Nurul Ain Haron melahirkan kerinduan untuk kembali semula ke Gaza selepas pengumuman gencatan senjata Israel dan Hamas.
Dia yang berkahwin dengan rakyat Palestin sebelum ini menyifatkan perasaan rindu begitu tebal terhadap penduduk dan keluarga mertua selepas lebih setahun tidak bersua muka.
Apatah lagi dengan fasa serangan berterusan Israel terhadap Gaza sebelum ini membuatkan hati dan perasaan ingin tahu terhadap perkembangan di sana membuak-buak.
“Perasaan rindu memang tidak terungkap dengan kata-kata. Rasa tidak sabar untuk berjumpa dengan keluarga di sana bertanya khabar mereka.
“Selain itu, saya juga mahu membantu mangsa yang terkesan dan memberikan bantuan kemanusiaan selagi terdaya sebaik proses gencatan senjata dapat direalisasikan,” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.
Sebelum ini, Israel dan Hamas bersetuju melaksanakan gencatan senjata bermula esok untuk menghentikan perang selama 15 bulan.
Nurul Ain bersama suami Mohamed A.M. Shaat, 33, sebelum ini terkandas di Gaza selepas bandar berkenaan dihujani bom serangan balas rejim Zionis sejak 7 Oktober lalu.
Mereka sebelum ini menetap di Emiriah Arab Bersatu (UAE) namun berkunjung ke kampung halaman Mohamed A. M. Shaat di Khan Younis, Gaza buat pertama kali pada 1 Oktober sebelum serangan terbabit.
Dalam pada itu, Nurul Ain berkata, walaupun gencatan senjata akan bermula hari ini, dia masih perlu menunggu dalam satu tempoh sebelum dapat pulang ke Gaza.
“Untuk masuk semula ke Gaza pada waktu ini mungkin tidak sebab ia hanyalah fasa satu untuk perjanjian gencatan senjata.
“Keadaan di sana pun masih tidak selamat. Dan saya mahu pastikan keselamatan terlebih dahulu agar tidak menyusahkan ramai pihak nanti,” jelasnya. – UTUSAN










