Undang-undang dana politik perlu diluluskan sebelum PRU-16

Rang undang-undang dana politik perlu diluluskan sebelum PRU-16

MUSTAPHA YAAKUB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu meneruskan semula Rang Undang-Undang (RUU) bagi Akta Pendanaan politik bagi membolehkan perkara itu dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, kerajaan masih mempunyai masa tidak kurang dari tempoh dua tahun untuk dibentangkan dan diluluskan di Parlimen sebelum ia dilaksanakan. 

Katanya, dengan pelaksanaan RUU tersebut, maka tiada alasan lagi untuk semua parti politik tidak mendedahkan sumber dana yang diperoleh bagi menjamin ketelusan.

“Kita pada peringkat awal memang bersetuju, malah UMNO memang nak laksanakan perkara ini supaya masyarakat tahu berapa banyak peruntukan setiap parti untuk berdepan dengan pilihan raya, tetapi yang tidak bersetuju adalah parti lain.

“Saya berpandangan langkah itu adalah sebaiknya dan bukan kita nak tiru apa yang dilakukan oleh Amerika, tetapi tujuannya adalah untuk mengelakkan perkara-perkara yang melanggar syarat pilihan raya seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPR) yang ada meletakkan sekian jumlah untuk calon yang bertanding di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.

“Jadi, sekiranya lebih daripada jumlah tersebut, maka ia akan dikenakan tindakan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan kerajaan perlu memperkenalkan mekanisme mewajibkan semua parti politik mendedahkan sumber dana yang diperoleh tanpa mengira tujuan pembiayaan sama ada untuk berkempen atau sebarang aktiviti lain.

Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, masyarakat juga perlu diberikan akses untuk melihat sumber dana yang diterima setiap parti.

Mengulas hal sama, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad berkata, secara dasar parti itu menyokong penggubalan Akta Pendanaan Politik yang sememangnya antara reformasi diperjuangkan Pakatan Harapan (PH) sebelum menjadi kerajaan.

Katanya, RUU Pendanaan Politik dilihat langkah terbaik bagi menangani amalan salah guna kuasa atau rasuah dengan alasan mendapatkan sumber kewangan bagi pihak parti politik.

Selain itu, katanya, RUU itu juga mampu membersihkan sumber kewangan parti yang melantik mana-mana ahlinya menduduki jawatan tertentu sama ada dalam kerajaan mahupun syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk meraih dana bagi pihak partinya.

“Kita akui bahawa parti politik memerlukan dana untuk bergerak tetapi tanpa adanya RUU Pendanaan Politik, akan ada pihak tak bertanggungjawab melakukan amalan atau jalan tak betul untuk mendapatkan sumber kewangan. Sekiranya RUU itu diwujudkan ia akan mengekang amalan-amalan tersebut, jadi Amanah secara prinsip atau dasarnya menyokong jika ia diperkenalkan,” katanya.

Khalid berkata, pihaknya juga bersetuju jika akaun parti politik diaudit secara telus sebelum menyertai mana-mana pilihan raya supaya sumber diperoleh tidak disalahgunakan demi kepentingan peribadi.

Dalam pada itu, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, reformasi perdanaan politik ini perlu ada pembaharuan yang lebih telus, sekali gus menggesa kerajaan untuk menyediakan kerangka baharu untuk dibincangkan dalam kabinet dan diputuskan di Parlimen.

Untuk rekod pada, RUU bagi Akta Pendanaan politik sepatutnya dibentangkan pada akhir sidang Parlimen yang dijadual pada Oktober 2022, namun, perkara itu tertangguh sehingga ke hari ini.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN