Perisai bakul sampah

Perisai bakul sampah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAFAS Roy yang hangat, sampai ke pipi Ella. Sudah berkali-kali Ella mengundurkan kerusinya ke belakang tetapi wajah Roy tetap terasa dekat dengan wajahnya. Ella tahu Roy mahu menunjukkan pembetulan yang perlu dibuat tetapi tidak bolehkah bercakap dalam jarak yang wajar? Dia tidak punya masalah pendengaran. Jadi, apakah rasionalnya berada dalam jarak dekat?

“Faham?” Tanya Roy lalu menegakkan tubuhnya.

Ella mengangguk malas. Sejujurnya, dia tidak fokus tetapi dia tidak mahu panjang cerita. Harapnya, Roy cepat-cepat kembali ke meja kerjanya sendiri. Pandai-pandailah dia menyelesaikan pembetulan itu nanti. Lagi pula, dia cuma diminta untuk membetulkan kesalahan ejaan sahaja.

Telefon pejabat di atas meja kerja Ella berdering. Tidak lain dan tidak bukan, panggilan itu dibuat dari dalam bilik pejabat Azmil. Bilik pejabat yang letaknya di belakang Ella.

“Nanti awak masukkan sekali data yang saya suruh awak buat semalam kat dalam fail yang Roy bagi awak tadi. Jikalau dah siap, hantar terus kepada saya,” arah Azmil dari balik dinding.
“Baik, tuan!” Sahut Ella, patuh.

“Ok, sayang!” Kata Azmil, terdengar gatal.

Cepat-cepat Ella menamatkan panggilan. Satu lagi nafas ditarik kasar bagi melepas keluhan. Semoga Azmil tidak mempertanyakan panggilan yang terhenti di hujung perbualan. Mudah-mudahan suara gatal Azmil itu tidak didengar oleh orang-orang di kiri dan kanan.

Kerja yang banyak sudah cukup membuat pening. Perangai majikan pula menambah runsing. Otot wajah tidak mahu dibawa berunding. Jika hendak diturutkan hati, teringin juga rasanya melenting.

“Ella!” Panggil Roy dari arah depan.

Belum sempat Ella memberi sebarang respons, lelaki berambut nipis itu sudah berjalan menghampiri meja kerjanya.

Ella menjadi cemas. Dia takut Roy akan mengambil posisi serupa seperti tadi. Jantung berdegup laju. Tangan digenggam erat bagi menenangkan diri.

“Janganlah ketat sangat muka tu!” Komen Roy saat menghentikan langkahnya tepat di depan meja kerja Ella.

Tubuh yang tegang, Ella hempaskan ke penyandar kerusi. Syukur kerana Roy tidak berdiri di sebelahnya dan bercakap dekat dengannya.

Pun begitu, dia tetap harus berwaspada. Kaki diletakkan dalam mod sedia. Seandainya Roy datang dekat, dia akan mengundurkan kerusi jauh-jauh. Semoga roda kerusi tidak tersangkut di mana-mana.

Nak saya belanja makan, tak? Jom keluar makan tengah hari sama-sama lepas ini! Jangan risau, saya belanja!” Ajak Roy dengan senyuman.

“Maaf, saya tengah banyak kerja ini!” Tolak Ella agak malas.

“Hm, jual mahal!” Marah Roy lalu kembali ke meja kerjanya.

Ella tidak mahu mengambil hati. Biar berapa kali pun ungkapan itu dilemparkan kepadanya, dia tidak peduli. Ajakan yang tidak tepat pada masanya, memang tidak patut dilayan. Jika ada masa sekali pun, dia ragu hendak menyambut baik ajakan itu.

Fokus Ella ditumpukan sepenuhnya kepada dokumen yang diminta oleh Azmil sebentar tadi. Tugas harus segera diselesaikan.

Perasaan tidak selesa dan cemas ini memang mengganggu prestasi kerjanya. Dia susah untuk menumpukan perhatian kerana suasana kerja yang menyebabkan dia berasa terancam.

Sedang tekun dia membuat kerja, perasaan gadis pertengahan 20-an itu mulai tidak tenteram. Jikalau boleh dia mengecilkan diri, mahu rasanya dia hilang di balik layar komputer. Alangkah baiknya jika dia boleh berubah menjadi halimunan.

Umpama ada sebuah kamera sedang merakam setiap gerak-gerinya. Entah diterbangkan menggunakan dron atau dipasang tanpa izin di sekitarnya, Ella dapat membayangkan bahawa ada sebuah lensa kamera diletakkan benar-benar di depan mukanya. Hanya saja kamera yang menjengkelkan itu tidak berwujud barang.

Dia bukan perasan tetapi firasatnya begitu kuat merasakan.

Dari seberang meja yang berjarak dua depa, Roy memerhatikannya tanpa berkedip. Mereka duduk berdepan, membuatkan mereka saling dapat melihat wajah masing-masing dengan jelas.

Nafas yang tadinya biasa, sengaja dia bunyikan kasar sebagai tanda protes. Wajah yang asalnya manis juga mulai kelat. Satu jelingan tajam dia panahkan agar lelaki tidak sopan itu sedar bahawa perbuatannya sangat mengganggu.

Bukannya gentar, jelingan Ella itu malah mengundang senyum di bibir Roy. Tatapan matanya tidak kosong. Hampir tembus wajah Ella dia tenung.

Ella geram tetapi Roy memang tidak faham bahasa. Ella melilau ke kanan dan kiri bagi mencari perisai. Dek kerana kesal, dia mengambil bakul sampah di bawah meja dan meletakkannya ke atas tepatnya di sebelah layar komputer.

Dia sudah tidak peduli akan dikatakan pengotor atau apa-apa pun itu. Yang dia tahu, bakul sampah itu akan bertugas sebagai penghadang pandangan Roy ke arahnya. Biarlah mejanya menjadi sempit. Yang penting dia berasa sedikit selamat.

Suara ketawa terdengar dari balik bakul sampah. Mungkin Roy sedang geli hati melihat kelakuan Ella itu. Ella berusaha mengacuhkannya. Bagaimana rasa tidak selesa orang lain, boleh menjadi hiburan buat lelaki itu?

“Dah siap?” Tanya Azmil yang tiba-tiba keluar dari biliknya.

Serta-merta Ella gelabah. Perisai yang digunakan untuk menghadang pandangan mata yang tak diingini, juga telah menutup laluan pandangan Ella terhadap dunia sekeliling. Dia segera meletakkan bakul sampah itu ke tempat asal.

“Ingatkan pasu bunga rupanya bakul sampah,” sindir Azmil saat menapak tepat di depan meja kerja Ella.

Dari meja seberang, Roy ketawa kecil.

Satu tatapan tajam dipanahkan Ella tepat ke arah Roy.

Mata seorang gadis ayu berubah menjadi tatapan mata seekor haiwan pemangsa. Tatapan yang mengisyaratkan amaran. Tidak ada yang lucu dan tidak ada seorang pun yang dibenarkan ketawa. Tawa Roy pun berhenti serta-merta.

“Sudah siap nanti, letak atas meja saya. Saya mahu keluar dulu. Ambil anak-anak kita balik sekolah…” beritahu Azmil dengan senyuman sebelum masuk semula ke bilik kerjanya.

Kembang-kempis dada Ella menahan sabar. Anak-anak siapakah yang lelaki itu maksudkan? Tidakkah kata-kata itu boleh ditafsir serong sekiranya ia didengar oleh orang sekeliling yang tidak mengenali mereka.

Senyum Azmil tersimpul bersahaja. Untuk kesekian kalinya kata-kata mengusik dia jadikan sebagai alasan. Perbuatan yang akan selalu menyelamatkan dirinya dari rasa perlu meminta maaf.

Ella mendengus kesal. Nampaknya, lelaki beranak tiga ini sudah tidak tahu membezakan gurauan dengan gangguan. Semakin dibiarkan semakin suka dia mengulang usikan tidak sepatutnya itu.

Apakah perasaannya jika isterinya pula yang diusik sedemikian rupa oleh orang lain?
Di waktu yang paling tidak tepat itu, Roy bangun lantas mendekati meja kerja Ella. Raut emosi Ella begitu menarik perhatiannya. Cuba mengambil hati seseorang tidak selalu dengan menaikkan diri sendiri tetapi juga kesempatan untuk menjatuhkan orang lain.

“Tak padan dengan anak tiga, ada hati hendak kacau anak dara orang!” Kutuk Roy sambil memandang ke arah pintu bilik Azmil dengan jelingan tajamnya.

Bakul sampah yang diturunkan, Ella tempatkan semula ke atas meja. Tidak kuasa dia hendak memandang wajah lelaki di depannya itu. Tidak dilayan saja masih tidak tahu malu, apatah lagi jika diberi peluang.

Wajah Ella yang mulai merah padam, membuatkan Roy membatalkan niatnya. Dia berundur dan kembali ke meja kerja. Sesekali gerak-geri Ella masih tertangkap pandangan.

Lama-lama boleh tekanan perasaan Ella dibuatnya. Roy tidak habis-habis mencuba nasib. Jika caranya betul, Ella tak akan terganggu. Masalahnya sekarang, kelakuannya tidak kena tempat.

Hendak dilaporkan, orang atasan pun tidak kalah gatal. Siapa yang tidak pening dibuatnya?

Sesaat kemudian, Azmil keluar semula dari biliknya. Kali ini, dia keluar seraya menggenggam kunci kereta. Sebelum benar-benar meninggalkan pejabat, dia sempat singgah ke meja kerja Ella dan berkata,
“Saya keluar dulu sayang. Hendak cium pipi saya sikit ke? Takut rindu pula nanti…”

Itulah rutin yang terpaksa Ella lalui setiap hari selama berkerja di sini. Kesabaran manusia pasti ada batasnya.

Biarpun sabar separuh daripada iman tetapi sabar bukan bermaksud tidak bertindak. Seorang manusia juga tidak boleh pasrah semata-mata tanpa berusaha untuk mengubah takdir dirinya sendiri.

“Cukup!” Jerit Ella sekuat-kuat hati.

Azmil terkedu. Roy tercengang. Seisi pejabat terperanjat. Serta-merta semua mata tertuju ke arah suara jeritan.

“Saya penat dengan semua ini! Tolonglah berhenti buat saya rasa rimas!

“Tuan berdua sedar atau tidak jikalau apa yang tuan berdua buat itu adalah gangguan seksual?” Soal Ella dengan genangan air mata.

Rakan-rakan pejabat semakin tertanya-tanya akan apa yang sebenarnya sedang terjadi?
Istilah gangguan seksual itu terdengar asing bagi mereka. Bunyinya sangat berat tetapi mereka tidak begitu faham takrifannya.

“Gangguan seksual apanya? Saya tidak pernah sentuh awak. Saya Cuma bergurau saja…” kata Azmil, membela diri.

“Saya pun sekadar usik-usik saja. Saya rasa saya tidak pernah melebihi batas. Kenapa perlu hendak dibesar-besarkan?” Pertikai Roy sedikit tergagap-gagap.

“Gangguan seksual ditakrifkan sebagai sebarang kelakuan berunsur seksual yang tidak diingini sama ada secara lisan, tidak lisan, visual, psikologi atau fizikal hingga menyebabkan seseorang yang waras itu berasa tersinggung, terhina atau terugut…” terang Ella, sangat serius.

Azmil dan Roy menelan liur. Dari riak wajah mereka, jelas bahawa mereka masih ingin mencari hujah balas. Walaupun begitu, beberapa rakan pejabat yang tangkas membuka laman internet untuk mencari maklumat, memperkukuh pernyataan Ella.

Kedua-dua mereka pun menjadi kebingungan.

“Saya rasa terhina dengan panggilan sayang dari tuan sebab itu boleh menjatuhkan harga diri saya.
“Saya tentu akan dianggap sebagai perempuan simpanan, perampas atau bermacam-macam lagi fitnah ke atas diri saya…” luah Ella kepada Azmil, agak beremosi.

Azmil tertunduk malu. Dia tidak pernah berfikir sejauh itu. Mungkin juga dia tidak pernah menghiraukan pandangan orang kerana menganggap kuasa yang dia miliki akan menyelamatkannya nanti.

Pekerja bawahan tentu tidak berani melawan kerana mahu menjaga periuk nasi mereka.

“Saya rasa terancam dengan Roy. Dia tenung saya atas bawah atas bawah sampai saya rasa tak selamat.

“Zaman sekarang, tidak boleh nak tenung-tenung orang sesuka hati. Negara kita ada undang-undang!” sambung Ella, kesal.

Roy menundukkan pandangan. Ayat terakhir Ella itu membuatnya tersentak. Dia sedar dia tidak punya celah untuk membantah. Jelas bahawa dia sudah tertolak mentah-mentah.

“Ya, tuan berdua memang tidak pernah menyentuh saya tetapi gangguan tuan berdua kepada saya tetap boleh diambil tindakan di bawah, Akta Anti Gangguan Seksual 2022, Akta 840!” Tegas

Ella tanpa ragu lagi.

“Encik Azmil pun pernah buat perkara yang sama pada saya waktu saya mula-mula masuk kerja di sini dulu,” beritahu seorang pekerja wanita dari arah kumpulan pekerja yang berkerumun.

“Sa… Sa… Saya pun tak suka jikalau saya disuruh buat sesuatu kerja dengan Roy. Dia selalu nak duduk rapat-rapat dengan saya.

“Cakap pun mesti nak dekat-dekat. Saya geli…” cerita seorang lagi rakan sepejabat mereka.

Azmil dan Roy semakin tidak menentu. Usaha untuk membersihkan nama baik masing-masing, terbantut.

Tindakan berani Ella telah menyebabkan lebih banyak rahsia terbongkar. Nampaknya, mereka harus bersedia menerima hukuman di atas kesalahan mereka ini.

“Inilah yang akan terjadi jika semua mangsa rasa takut dan memilih untuk diam. Pelaku macam mereka ni akan mengulang-ulang kesalahan yang sama kepada orang lain.

“Yang kita ini terpaksa menanggung trauma! Jangan takut! Tindakan berani kita akan mengubah segalanya. Laporkan!” Seru Ella kepada semua. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN