Pelaburan KWSP dalam MAHB berdasarkan analisis menyeluruh

Pelaburan KWSP dalam MAHB berdasarkan analisis menyeluruh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) termasuk aktiviti dagangan melibatkan saham Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) dibuat berdasarkan analisis menyeluruh untuk memberikan nilai maksimum kepada ahlinya.

KWSP berkata, aktiviti dagangan tersebut selaras dengan matlamat pelaburan lebih luas iaitu menjana pendapatan yang diperlukan bagi pembayaran dividen kepada ahli dalam tahun kewangan tertentu.

Menurutnya, keputusan terkini KWSP untuk membuat tawaran am sukarela bagi saham MAHB pada harga RM11 sesaham sebagai sebahagian daripada konsortium juga mencerminkan strategi jangka panjang untuk mencapai pertumbuhan dan pulangan mampan.

“Sebagai institusi yang komited terhadap amalan tadbir urus terbaik, KWSP melaksanakan polisi ‘Chinese Wall’ bagi memastikan pengurus dana tidak mempunyai akses kepada maklumat material yang tidak didedahkan kepada umum termasuk maklumat berhubung tawaran pengambilalihan.

“Polisi ini bertindak sebagai penghalang maklumat antara jabatan berlainan dalam KWSP, menghalang sebarang pendedahan maklumat material yang tidak tersedia kepada umum dan mengekalkan integriti aktiviti pasaran,” katanya dalam kenyataan semalam.

KWSP berkata, seperti kebanyakan pelabur institusi besar lain, pihaknya mengasingkan pasukan yang menguruskan kerjasama strategik atau urusan sulit daripada pasukan yang mengurus pelaburan dalam ekuiti awam.

“Polisi tersebut menetapkan sempadan ketat bagi memastikan semua keputusan dibuat hanya berdasarkan maklumat umum, sekali gus mengelakkan sebarang kelebihan tidak adil atau dagangan orang dalam.

“Langkah ini bertujuan melindungi integriti operasi KWSP dan memastikan kepercayaan terhadap amalan tadbir urusnya terus terpelihara,” katanya.

KWSP telah menjadi pemegang saham MAHB sejak 30 November 1999 apabila syarikat itu disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada harga RM2.50 sesaham.

Dalam tempoh 24 tahun, KWSP menguruskan pelaburan dalam MAHB dengan berlandaskan strategi dagangan yang teliti untuk memastikan pulangan optimum kepada ahlinya.

Tawaran am sukarela ini menandakan komitmen KWSP untuk terus melabur secara strategik dan bertanggungjawab demi kepentingan lebih 15 juta ahli yang diwakilinya.

Sebelum ini, bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong menggesa kerajaan menyiasat penjualan saham MAHB oleh KWSP yang berlaku pada 2023 kerana tindakan tersebut menyebabkan pegangan saham kumpulan itu dalam syarikat pengurusan laprangan terbang berkenaan berkurangan kepada lima peratus.

Pada 6 Januari 2023, KWSP dilapor menjual saham MAHB sekitar RM6.74 seunit iaitu pada harga paling rendah sepanjang tahun itu sehingga julatnya mencecah RM7.70 sesaham pada 1 September 2023.

Beberapa bulan kemudian melalui tawaran awam (GO), KWSP membeli semula saham berkenaan pada harga RM11 sesaham dengan menambah RM539 juta hingga RM696 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN