MCA sedia tinggal BN jika terus sokong dasar bebankan rakyat

MCA sedia tinggal BN jika terus sokong dasar bebankan rakyat

WEE KA SIONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: MCA bersedia meninggalkan Barisan Nasional (BN) sekiranya gabungan itu terus menyokong dasar yang membebankan rakyat dan melemahkan kedudukannya.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, BN turut dianggotai UMNO, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) berisiko untuk ditenggelamkan oleh dasar-dasar yang tidak popular kerajaan Persekutuan.

Ka Siong juga mempersoalkan bagaimana kepimpinan BN boleh mempertahankan dasar tertentu sedangkan gabungan itu tidak dirunding selain polisi itu tidak selari dengan semangat serta prinsip BN.

“Akar umbi MCA semakin kecewa kerana terpaksa memberi penjelasan atau mempertahankan dasar Persekutuan yang tidak dipersetujui oleh parti itu.

“MCA bersedia membawa haluan sendiri sekiranya BN terus menyokong dasar dan pengaturan politik yang menyakiti rakyat serta melemahkan gabungan,” katanya dalam Perhimpunan Agung Tahunan MCA di sini hari ini.

Beliau menegaskan kesetiaan kepada BN tidak boleh berlaku dengan mengorbankan kepentingan rakyat.

Katanya, keyakinan terhadap parti politik adalah rapuh dan sejauh mana BN relevan bergantung kepada keupayaannya menunjukkan sikap berdikari, bertanggungjawab dan berani bersuara dalam isu-isu yang memberi kesan kepada rakyat.

“Sekiranya kerajaan Perpaduan terus melaksanakan dasar yang membebankan rakyat, dan BN terus menyokongnya tanpa soal, maka MCA perlu bersedia bertindak demi kepentingan terbaik rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×