Panggilan video terakhir sebelum isteri mati lemas

Panggilan video terakhir sebelum isteri mati lemas

ABU MANSUR menunjukkan gambar Allahyarham isterinya bersama arwah ibu mentuanya ketika ditemui di Forensik Hospital Kota Tinggi, Johor, semalam..-UTUSAN/MASTURAH SURADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Seorang wanita sempat membuat panggilan vi­deo kepada suaminya beberapa minit sebelum menemui ajal dalam kejadian lemas di Pantai Bayu Impian, Bayu Damai, Pengerang dekat sini kelmarin. 

Perkara itu dimaklumkan sua­mi mangsa, Abu Mansur Ahmad Musa, 43, yang turut memberitahu selain isterinya, Siti Fatimah Jaafar, 33, turut lemas ialah anak saudaranya, Nur Arisya Hanan Mohd. Salleh, 13.

Katanya, ketika kejadian, dia bersama kira-kira 20 ahli keluarga sebelah isterinya telah ke tempat penginapan di pantai itu sejak Isnin lalu untuk bercuti.

Bagaimanapun ujarnya, ketika kejadian berlaku dia tiada di lokasi kerana pulang ke rumah sebentar di Sungai Tiram untuk mengambil barang isterinya.

“Kira-kira pukul 5 petang isteri hubungi saya melalui panggilan video, saya pelik juga kerana biasanya dia telefon sahaja dan tid­ak pernah buat panggilan video.

“Ketika itu saya lihat wajahnya betul-betul cantik, dia berpesan supaya saya tidak lupa mengambil barangannya dan saya sempat bertanyakan keadaannya dan anak-anak, dia cakap semuanya okay,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi, di sini semalam.

Bapa kepada tiga orang anak itu berkata, beberapa minit kemudian dia mendapat panggilan dari anak saudaranya yang memaklumkan anaknya serta beberapa tiga anak saudaranya yang lain lemas.

Dia juga sempat bertanyakan keadaan isterinya ketika itu dan dimaklumkan isterinya itu selamat.

“Dalam keadaan kelam kabut mahu pergi ke sana semula saya kemudian terima lagi panggilan dari anak saudara yang memaklumkan isteri saya lemas, saya diberitahu isteri saya lemas kerana mahu selamatkan yang lain sedangkan isteri saya tidak pandai berenang,” katanya lagi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, dua maut manakala empat yang lain terselamat dalam kejadian itu.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×