Musim tengkujuh kami terkandas

‘Musim tengkujuh, kami terkandas’

KEADAAN tanah di laluan Orang Asli di Gua Musang, Kelantan yang rosak setiap kali musim tengkujuh. – UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Penduduk Orang Asli yang tinggal di empat pos pedalaman di sini, berharap Projek Jalan Perhubungan Bersepadu dilaksanakan mengikut jadual berikutan penduduk di Pos Bihai, Balar, Belatim dan Pos Hau, berdepan masalah kerosakan jalan teruk setiap kali musim hujan sehingga menjejaskan aktiviti harian mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pem­bangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Kampung Tendrik, Pos Bihai, Apek Asud berkata, jalan rosak menyebabkan penduduk di kawasan terlibat terputus bekalan makanan asas kerana jalan ta­nah tidak berturap itu akan rosak, berselut dan berlumpur.

Katanya penduduk sudah lama menantikan jalan perhubungan yang selesa bagi kemudahan berulang-alik melakukan pelbagai urusan di bandar Gua Musang.

“Kami berharap jalan perhubungan ini dilaksanakan secepat mungkin untuk kemudahan keluar dan masuk penduduk sebab apabila musim tengkujuh kami terkandas di kampung.

“Penduduk hanya mengharapkan bantuan makanan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli yang dihantar melalui helikopter. Sekiranya cuaca kemarau kami ke bandar Gua Musang dalam tempoh satu jam sete­ngah, namun kalau musim hujan memakan masa lebih empat jam,” katanya.

Penduduk Orang Asli, Amad Apek, 50, berkata, walaupun sebelum ini pelbagai projek baik pulih jalan tanah atau penyelenggaraan dilaksanakan, penduduk masih menghadapi masalah jalan rosak.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, hampir 10,000 penduduk Orang Asli di Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dan kawasan setempat bakal me­nerima manfaat daripada projek Jalan Perhubungan Bersepadu.

“Saya berharap selepas musim tengkujuh ini, kerja-kerja di tapak bina dapat berjalan lancar kerana kita dapat melihat betapa sukarnya masyarakat Orang Asli terutama di Pos Bihai, Pos Balar dan Pos Belatim keluar serta masuk kampung,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) meluluskan peruntukan sebanyak RM200 juta untuk projek menambah baik jalan di beberapa kawasan perkampu­ngan Orang Asli di Kelantan. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN