PETALING JAYA: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menyatakan sokongan penuh pada komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha membangunkan semula infrastruktur penting di Gaza.
Yang Dipertua Yadim, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata, kerajaan dan rakyat Malaysia terus memainkan peranan penting bagi mempertahankan keadilan serta hak asasi manusia.
Kata beliau, Malaysia terus mendapat kepercayaan dari pelbagai negara termasuk di Barat, negara-negara Arab dan rantau Asia atas ketegasan serta keberanian dalam memperjuangkan keamanan sejagat.
Jelasnya, dalam konteks konflik di Palestin, Malaysia sudah menunjukkan ketegasannya sebagai pemimpin dalam usaha global untuk perdamaian dan penyelesaian kemanusiaan.
“Sehubungan dengan gencatan senjata di Palestin, khususnya di Gaza, seluruh rakyat Malaysia memikul tanggungjawab bersama dalam memastikan bantuan yang sewajarnya disalurkan bagi memulihkan hak-hak rakyat Palestin serta meringankan penderitaan mereka.
“Usaha ini sejajar dengan prinsip kemanusiaan sejagat yang menekankan hak setiap individu untuk hidup bebas dari diskriminasi,” katanya di dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu media melaporkan, Anwar berkata, usaha untuk bangunkan Gaza semula akan direalisasikan dengan menggembleng sinergi dan kerjasama semua pihak, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat dan swasta serta seluruh rakyat.
Selain itu, Anwar memaklumkan, kerajaan Malaysia dan Jepun juga berjaya mencapai kesepakatan untuk menyegerakan usaha membina semula Gaza menerusi inisiatif Kerjasama antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD), dengan menubuhkan dana khas bagi menyokong pembangunan semula wilayah yang terkesan.
Mengulas lanjut, Hasanuddin berkata, YADIM yakin seluruh inisiatif bantuan oleh kerajaan tidak bergantung sepenuhnya kepada perbelanjaan kerajaan.
“Dengan kepimpinan bijaksana dan diplomasi yang mantap, Perdana Menteri telah mengukuhkan hubungan strategik dengan kuasa ekonomi besar seperti China dan Jepun, yang turut komited dalam pembangunan semula Palestin.
“Malaysia sebagai negara yang dihormati di peringkat antarabangsa, mengoptimumkan sumber sedia ada bagi memastikan bantuan disalurkan secara efektif dan berkesan demi kesejahteraan rakyat Palestin,” jelasnya.
Tambahnya, tidak tepat untuk menyamakan sokongan Malaysia terhadap Palestin dengan peribahasa ‘anak kera di hutan disusukan, anak sendiri di rumah kebuluran’.
“Malaysia sentiasa meletakkan kebajikan rakyatnya terpelihara tanpa mengira latar belakang dan perbezaan mereka.
“Kerajaan Madani telah terbukti konsisten melaksanakan pelbagai usaha bagi memastikan kesejahteraan rakyat terjaga menerusi inisiatif seperti subsidi bersasar, inisiatif Sumbangan Tunai Rahmah (STR), kenaikan gaji minimum, jualan Rahmah Madani dan pelbagai lagi,” katanya. –UTUSAN










