KETIKA ini, tanaman buah mangga harumanis di Perlis sudah mengeluarkan bunga antara lima hingga 10 peratus dengan jangkaan hasil menjelang penghujung Mac ini.
Keluasan tanaman harumanis di Perlis mencecah sehingga 1,745.79 hektar melibatkan 2,693 petani manakala keluasan berhasil pula sekitar 1,611.59 hektar berbanding keluasan seluruh kawasan penanaman mangga Malaysia iaitu 4,415.28 hektar.
Namun, setiap kali tiba musim harumanis antara isu yang sering diperdebatkan dan sentiasa menjadi polemik orang ramai khususnya dari luar negeri ini adalah berkaitan harganya yang dikatakan terlalu tinggi iaitu antara RM35 hingga RM40 sekilogram.
Setiap kali itu juga, khususnya di media-media sosial timbullah pelbagai ungkapan kononnya harga harumanis Perlis ‘cekik darah’ harga ‘Yahudi’ dan pelbagai lagi ungkapan sinis lain.
Bagaimanapun, perkara tersebut langsung tidak menjejaskan permintaan terhadap mempelam harumanis setiap tahun yang sentiasa menunjukkan peningkatan. Malah, tahun lalu sahaja merekodkan sebanyak 2,022 tan metrik dengan nilai RM46.513 juta.
PENJAGAAN HARUMANIS RUMIT, KOS SEKILOGRAM MENCECAH RM12
Ramai yang tidak tahu sebenarnya proses penjagaan dan penyelenggaraan pokok harumanis bukan mudah selain menelan kos cukup tinggi bagi menghasilkan buah berkualiti seterusnya menjamin kepuasan pembeli.
Harumanis memerlukan penjagaan sepanjang tahun dengan kos ladang bagi sekilogram buah tersebut dianggarkan menelan RM10 hingga RM12.

Bagi setiap penjagaan 100 pokok harumanis yang dianggarkan boleh menghasilkan 1,000 kilogram buah berkenaan dikatakan menelan kos sehingga RM12,000.
Jadi, tidak hairanlah apabila pembeli perlu mengeluarkan perbelanjaan lebih untuk setahun sekali bagi menikmati keenakan buah yang menjadi ikon negeri Perlis itu.
Mangga harumanis Perlis juga telah didaftarkan sebagai harta intelek di bawah Akta Petunjuk Geografi 2000 sejak 2 Ogos 2011 oleh Jabatan Pertanian negeri Perlis dan telah diperbaharui bagi tempoh 10 tahun sehingga 2 Ogos 2031.
Maka dengan itu, harumanis Perlis mempunyai hak eksklusif untuk mendapat pengiktirafan di dalam dan luar negara serta diberi perlindungan oleh undang-undang harta intelek.
Pengerusi Persatuan Pengusaha Harumanis negeri, Datuk Hashim Suboh berkata, penjagaan harumanis sebenarnya bukan mudah yang memerlukan ketelitian dan pemantauan sepanjang tahun.
Katanya, harumanis melibatkan dua komponen iaitu harum dan manis sekali gus memudahkan serangan perosak terutama lalat buah, ulat batang dan pelbagai lagi jenis serangan lain yang memerlukan penjagaan rapi sehingga menghasilkan buah.
Apabila harumanis terpaksa dijaga sepanjang tahun, ia menyebabkan kos ladang tinggi.
“Antaranya, kos penjagaan bagi per-kilogram buah antara RM10 hingga RM12. Malah, margin keuntungan bagi sekilogram pula sekitar RM6 sehingga RM8 bagi harga ladang iaitu sekitar RM18 hingga RM20 sekilogram.
“Jika pengusaha menghasilkan 1,000 kilogram harumanis bagi setiap 100 pokok satu musim margin keuntungan hanya sekitar RM8,000 dengan pengusaha pula perlu menjaga tanaman tersebut sepanjang tahun.
“Dengan margin tersebut bayangkan dengan penjagaan sepanjang tahun perlu dilakukan para pengusaha. Jadi daripada soal harga, sepatutnya orang ramai perlu memahami bagaimana kesukaran pengusaha harumanis untuk menghasilkan buah berkualiti dalam memenuhi kepuasan pembeli,” katanya.
Tambah Hashim, para pengusaha sentiasa menitik beratkan kualiti harumanis seterusnya menjaga nama baik ikon negeri Perlis itu.
“Kita sentiasa menitik beratkan kualiti dan sebab itu, penjagaan begitu rapi meskipun kosnya juga tinggi,” katanya.
RAIH PENDAPATAN RM30,000 ke RM40,000 SEMUSIM
Pengusaha, Mohd. Fairus Abdul Razak, 39, berkata, proses penjagaan harumanis sangat rumit dan ‘manja’ justeru ia memerlukan perhatian sepanjang tahun bagi menghasilkan buah berkualiti setanding harganya.
Dia yang mengusahakan tanaman di Abi di sini sejak 11 tahun lalu berkata, harumanis bergantung kepada faktor cuaca yang memerlukan cuaca panas dan jika hujan ia akan menyebabkan bunga hitam dan terdedah dengan serangan penyakit.
Dia meracun dalam tempoh seminggu ke dua minggu sepanjang tahun itu dan semasa proses berbunga serta berbuah, ia memerlukan vitamin bagi menghasilkan buah yang besar dan berkualiti selain memerlukan pemantauan berterusan.

“Kos penjagaan adalah tinggi dan saya mengeluarkan perbelanjaan sekitar RM5,000 untuk kerja-kerja penjagaan tersebut ke atas 100 batang pokok yang saya ada.
“Kerja pemantauan dari segi sukatan siraman air, vitamin dan sebagainya amat diperlukan. Apabila mula berbuah, kita akan balut dan meneruskan pemantauan berterusan sehingga menuai hasil.
“Daripada proses berbunga, berbuah sehinggalah mendapatkan hasil, memakan masa kira-kira tiga bulan namun proses penjagaan memerlukan sepanjang tahun.
“Kebanyakan buah saya jual secara pesanan melalui dalam talian dengan kebanyakan pelanggan tetap dan dari luar Perlis malah biasanya pada setiap musim harumanis sentiasa habis dijual,” katanya yang menyatakan penghasilan harumanis di kebunnya boleh mencecah satu hingga dua tan metrik dengan menjana pendapatan RM30,000 ke RM40,000 semusim.
HARUMANIS PERLIS BERKUALITI
Sifat dan rasa harumanis Perlis amat berbeza berikutan faktor tanah dan cuaca di negeri ini mendorong kepada penghasilan buah berkualiti.
Antara ciri-ciri harumanis ialah buah tiada leher, hujung buah rata dan tumpul, ada kehadiran sinus sederhana dalam, serat yang terlekat pada biji dan kulit sangat sedikit.
Tekstur isinya adalah halus selain isi buah masak berwarna kuning jingga, manis, harum dan sangat berjus dengan berat buah mempelam harumanis bagi kategori premium pula antara 350 sehingga 650 gram sebiji.
Pengarah Pertanian negeri, Hafizuddin Othman berkata, mangga harumanis Perlis mempunyai aroma harum apabila masak sekali gus berbeza dengan mangga lain, selain isinya berwarna oren kekuningan dengan rasanya yang manis.
“Sepohon mangga harumanis Perlis lazimnya boleh menghasilkan antara 80 hingga ke 200 biji buah bergantung pada cara pengurusan dan faktor lain seperti cuaca, suhu dan iklim.
“Mangga harumanis Perlis unik kerana ia akan mengeluarkan aroma harum apabila masak dan isinya berwarna kuning ke jingga. Buah yang sesuai dimakan mempunyai bacaan kemanisan brix 16 sehingga 34,” katanya.
Tambah Hafizuddin, harumanis Perlis sesuai ditanam di negeri ini kerana mempunyai iklim, suhu dan bentuk muka bumi yang bersesuaian.
Mangga harumanis memerlukan musim kemarau iaitu dari Januari hingga Mac untuk berbunga (stress period) dan berputik. Perbezaan suhu siang yang panas dan malam yang sejuk juga menjadi faktor untuk harumanis berbunga.
“Musim harumanis Perlis juga singkat iaitu antara dua atau tiga bulan setahun. Faktor ini yang membuatkan harumanis Perlis berbeza dengan mangga lain kerana pengeluaran dan pasaran harumanis adalah sangat terhad,” katanya.
JANGKAAN HASIL PENGHUJUNG MAC
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Razali Saad berkata, jangkaan hasil harumanis pada musim ini pada penghujung Mac depan.
Buat masa ini, sekitar lima hingga 10 peratus tanaman itu di negeri ini telah mengeluarkan bunga dan diharapkan keadaan cuaca di Perlis terus kekal kering selepas ini bagi mengelakkan bunganya rosak disebabkan hujan.
“Hujan akan menyebabkan berlaku dua situasi di mana bunga akan luruh dan keduanya, ia akan menjadi kehitaman sekali gus menjejaskan hasil pengeluaran,” katanya.
Tegasnya, tanaman harumanis di Perlis masih berdasarkan jadual ditetapkan malah petani turut mengusahakan tanaman mereka mengikut rutin kebiasaan.
“Ada seorang dua pengusaha cuba membuat tanaman harumanis sepanjang tahun namun sekiranya perkara itu dilaksanakan secara menyeluruh, ia dibimbangi akan menjejaskan harga dan kos, justeru lebih baik kekalkan seperti sekarang sebab buah ini juga sudah memang sinonim dengan Perlis dan dibimbangi akan kurang permintaan jika di luar musim,” katanya. – UTUSAN










