SANAA: Pasukan yang menyokong kerajaan Yemen mendakwa operasi kumpulan Houthi di sepanjang pantai barat negara itu mendapat bantuan pakar dari Iran dan Lubnan.
Kumpulan Houthi dilaporkan mengerahkan lebih 76,000 anggota dalam pertempuran terbaharu di sepanjang pantai barat Yemen bagi menguasai Selat Bab al-Mandab.
Jurucakap Pasukan Penentangan Kebangsaan yang disokong kerajaan, Mejar Jeneral Sadiq Dwaid berkata, operasi itu dirancang dan disediakan berbulan-bulan lebih awal.
Dalam kenyataan di platform media sosial X kelmarin, beliau mendakwa operasi tersebut dilaksanakan atas arahan langsung Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), dengan pakar Teheran dan Beirut turut terlibat dalam pengurusannya.
Pasukan Penentangan Kebangsaan mempertahankan barisan hadapan sepanjang 170 kilometer selain melindungi kawasan pantai dan beberapa pulau.
Beliau berkata, serangan itu termasuk pelancaran 23 peluru berpandu dan 18 dron yang menyasarkan kedudukan dikuasai komander pasukan dan Timbalan Pengerusi Majlis Kepimpinan Presiden Yemen, Leftenan Jeneral Tariq Saleh.
Yemen menikmati tempoh agak tenang sejak April 2022 selepas hampir 12 tahun dilanda perang antara pasukan kerajaan yang disokong pakatan diketuai Arab Saudi dengan kumpulan Houthi. Kumpulan Houthi merampas Sanaa serta sebahagian besar wilayah Yemen pada 2014.
Bagaimanapun, sejak perang di Gaza tercetus pada penghujung 2023, Houthi semakin terkait dalam konflik serantau dengan melancarkan serangan terhadap Israel dan kapal komersial di Laut Merah.
Pertempuran yang kembali tercetus baru-baru ini turut menimbulkan semula kebimbangan konflik berskala besar di Yemen.
Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) berkata, pendidikan lebih 137,000 kanak-kanak di Yemen turut terjejas susulan konflik yang berterusan.
Pertubuhan itu berkata, pasukan tindak balasnya sedang menyediakan 20 ruang mesra kanak-kanak dan bilik darjah sementara, selain menyediakan perkhidmatan perlindungan kepada kanak-kanak terjejas.
“Kanak-kanak tidak seharusnya kehilangan masa depan mereka akibat konflik,” kata UNICEF.
Pertempuran yang kembali tercetus memaksa keluarga meninggalkan kediaman mereka di wilayah Taiz barat dan daerah di sepanjang pantai barat Yemen.
UNICEF bersama Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) dan Program Makanan Sedunia (WFP) turut menyediakan bantuan kecemasan kepada lebih 14,000 orang yang baru dipindahkan akibat konflik.- AGENSI










