Kecanggihan teknologi AI, rantaian blok bantu tangani rasuah 

Kecanggihan teknologi AI, rantaian blok bantu tangani jenayah rasuah 

AZAM Baki menyampaikan ucaptama Persidangan Antarabangsa ke-3 dalam Teknologi, Kemanusiaan dan Pengurusan (ICTHM) 2025 di Kolej Antarabangsa Zikura, Maldives, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Teknologi kecerdasan buatan (AI) dan rantaian blok dilihat penting bagi membantu membanteras jenayah rasuah yang semakin kompleks.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, kemajuan teknologi itu boleh dimanfaatkan dengan penggunaan AI daripada aspek analitik data serta teknologi rantaian blok.

Sebagai contoh, katanya, penggunaan teknologi rantaian blok dan AI membolehkan pengesanan corak penipuan dan ketidakaturan kewangan selain penggunaan sistem e-pentadbiran yang boleh mengurangkan rasuah.

“Pegawai SPRM turut dilengkapi dengan pelbagai peralatan forensik terkini yang canggih dan diberikan latihan khususnya Bahagian Forensik Teknologi (BFT) dan Bahagian Analisa Kewangan (BAK).

“Atas faktor ini, SPRM turut mengintegrasikan teknologi ini di dalam operasi dan siasatan untuk terus berada terkehadapan dalam menghadapi taktik jenayah rasuah yang berkembang ini agar usaha memerangi rasuah kekal berkesan,” katanya pada Persidangan Antarabangsa Ke-3 Dalam Teknologi, Kemanusiaan dan Pengurusan (ICTHM) 2025, di Kolej Antarabangsa Zikura, Maldives.

Azam berkata, BFT dan BAK SPRM diletakkan berada di barisan hadapan inisiatif ini dengan kelengkapan dan kepakaran terkini untuk menjalankan forensik digital dan siasatan kewangan.

Katanya, atas usaha tersebut, Makmal Forensik SPRM baru-baru ini menerima akreditasi ISO/IEC 17025:2017, yang mengesahkan pengiktirafan global terhadap kerja analisis forensik dalam bidang teknologi.

“Revolusi perkembangan teknologi dari semasa ke semasa turut membawa kepada cabaran baharu dalam menangani jenayah rasuah yang semakin kompleks seperti jenayah siber, penipuan mata wang kripto dan penyalahgunaan AI.

“AI menjadikan kegiatan jenayah ini semakin canggih, sukar di jejak serta sering bersifat transnasional,” katanya.

Beliau berkata, SPRM turut menyokong penggunaan platform digital dan tanpa tunai membabitkan sistem perolehan awam yang dilihat mampu menutup ruang berlakunya rasuah.

Katanya, sistem seumpama itu akan memastikan subsidi, kebajikan dan gaji dipindahkan terus kepada golongan sasar tanpa perantara sekali gus mengurangkan kebarangkalian berlakunya rasuah.

“SPRM komited untuk terus memantau sektor-sektor utama seperti penguatkuasaan undang-undang, perolehan awam dan rasuah peringkat tinggi sebagai satu agenda utama memerangi rasuah serta ketirisan.

“Komitmen ini sejajar dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) Malaysia yang bertujuan untuk mengukuhkan integriti, ketelusan dan akauntabiliti di pelbagai sektor,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN