Kastam rampas mercun, dadah lebih RM1 juta

Kastam rampas mercun, dadah lebih RM1 juta

RAIZAM Setapa@Mustapa menunjukkan barangan rampasan dalam sidang akhbar Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Dengkil, Selangor, semalam.-UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas mercun dan bunga api serta dadah yang dianggarkan bernilai RM1.05 juta di empat lokasi sekitar Selangor, baru-baru ini.

Penolong Ketua Pengarah (Penguatkuasaan) JKDM, Raizam Mustapa berkata, pada 14 Januari lepas, sebanyak 1,330 kotak berisi mercun dan bunga api dianggarkan bernilai RM629,320 dirampas ketika serbuan di sebuah gudang di Beranang.

“Pengimport didapati membuat pengikraran tidak benar yang diisi dalam Borang Kastam 1 (Dokumen Import) membabitkan sejumlah 1,330 buah kotak berisi mercun.

“Produk juga tidak mematuhi spesifikasi dan garis panduan ditetapkan permit import (AP) oleh pihak Kementerian Dalam Negeri serta Polis Diraja Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Katanya, seorang lelaki tempatan berusia 50-an turut ditahan ketika serbuan.

“Jumlah duti atau cukai yang sepatutnya dikutip adalah sebanyak RM377,592, namun suspek yang ditahan telah dibebaskan atas jaminan kastam,” katanya.

Mengenai rampasan dadah, Raizam berkata, rampasan di­buat di dua gudang syarikat logistik pada 3  dan 5 Januari lalu di Petaling Jaya yang membawa kepada rampasan dua bungkusan dadah jenis kokain dianggarkan seberat sekilogram (kg) serta 1.1 kg.

Beliau berkata, rampasan pertama melibatkan satu bungkusan plastik lutsinar mengandungi ketulan mampat berwarna putih disyaki dadah jenis kokain bernilai RM200,000.

Bagi rampasan kedua, Raizam berkata pihaknya menemukan satu bungkusan plastik lutsinar mengandungi ketulan mampat berwarna putih disyaki dadah jenis kokain dianggarkan bernilai RM220,000.

“Modus operandi menggunakan perkhidmatan kurier untuk mengeksport dagangan ke luar negara dengan mengikrarkan bungkusan sebagai new gift book,” katanya sambil menambah tiada tangkapan dilakukan bagi kedua-dua kes berkenaan dan kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 39(B) (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Raizam berkata pada 30 Disember lalu, pihaknya menyita satu bungkusan di Pusat Mel dan Kurier, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang yang diikrarkan sebagai alat permainan dengan anggaran berat 1.3 kg, dianggarkan bernilai RM4,000 dan dialamatkan ke negara Eropah.

“Bungkusan itu memuatkan 100 katrij kaca rokok elektronik yang mengandungi bahan cecair dan lima batang gulungan kertas mengandungi leraian tumbuhan hijau. Kedua-duanya disyaki dadah jenis kanabis,” katanya sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×