KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam menetapkan 28 Februari ini untuk pendengaran permohonan pembelaan yang mewakili lelaki warga Israel, Avitan Shalom yang didakwa atas tuduhan berkaitan senjata dan peluru untuk menangguhkan perbicaraan kes itu.
Hakim K. Muniandy memutuskan demikian selepas mendengar hujahan ringkas daripada pihak pembelaan dan pendakwaan pada sebutan permohonan tersebut hari ini.
“Mahkamah menetapkan pengurusan kes bagi permohonan ini pada 20 Januari ini dan pihak pendakwaan (responden) perlu memfailkan afidavit jawapan sebelum 28 Januari.
“Sekiranya ada afidavit balasan daripada pihak perayu (pembelaan), mereka perlu memfailkannya pada atau sebelum 10 Februari,” katanya.
Semasa prosiding, peguam bela, Muhamad Aiman Haziq yang mewakili Avitan berkata, pihaknya bertegas untuk menangguhkan perbicaraan kerana jurubahasa yang disediakan tidak berkelayakan.
“Kami percaya permohonan ini tidak akan menjejaskan kes responden. Kami juga ingin merekodkan bahawa permohonan kami bukan untuk menangguhkan perbicaraan dan permohonan ini tidak berniat jahat,” katanya.
Mendengar hujah tersebut, Timbalan Pendakwa Raya, Suloshani Vijendran Vellupillai menegaskan pihaknya selaku responden membantah permohonan untuk menangguhkan perbicaraan itu.
“Bagaimana boleh dikatakan jurubahasa yang disediakan tidak layak sedangkan jurubahasa tersebut belum lagi berkomunikasi dengan tertuduh,” katanya.
Isnin lalu, Mahkamah Sesyen menangguhkan perbicaraan kes berkenaan buat kali ketiga berikutan pihak pembelaan mempertikaikan isu berkaitan jurubahasa bahasa Ibrani.
Perbicaraan yang sepatutnya berjalan pada 6 Januari lalu dan seramai 30 orang saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan dalam kes tersebut. – UTUSAN











