KUALA SELANGOR: Para penternak perlu menghentikan amalan melepaskan haiwan di merata tempat termasuk di jalan raya seperti yang dilakukan sejak tahun 1960-an.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, cara itu tidak sesuai lagi kerana jalan raya termsauk di kawasan kampung kini dipenuhi dengan kenderaan dan boleh membahayakan orang lain.
Katanya, haiwan ternakan kini perlu dikawal walaupun ia dilepaskan di dalam ladang kelapa sawit bagi mengelakkan ia berkeliaran di jalan raya dan mengakibatkan kemalangan.
“Kerajaan boleh bertindak menurut akta kawalan ternakan, tetapi sebelum bertindak kita harap semua tidak membiarkan ternakan berkeliaran sebab sekarang di jalan kampung pun banyak kenderaan seperti lori dan sebagainya.
“Kita tidak boleh lagi kita ternak kambing, lembu, kerbau seperti kita ternak pada 1960-an dengan lepaskan begitu saja,” katanya kepada pemberita ketika melawat tapak Projek Tanaman Bawang Rose Ehsan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), di sini semalam.
Utusan Malaysia semalam melaporkan seramai 109 pengguna jalan raya maut di seluruh negara disebabkan haiwan peliharaan atau ternakan sepanjang tahun lalu.
Dalam tempoh tersebut, sebanyak 14,560 kes kemalangan membabitkan haiwan liar, haiwan peliharaan dan ternakan dicatatkan di seluruh negara dengan 13,877 kes kemalangan menyebabkan kerosakan kepada kenderaan dan daripada jumlah itu, selain kematian, sebanyak 30 kes kemalangan melibatkan kecederaan parah dan 544 kes lagi cedera ringan.
Sementara itu Mohamad berkata, projek tanaman bawang di seluruh negara disasar untuk mengurangkan kebergantungan import pada 30 peratus atau penjimatan sebanyak RM300 juta.
Ketika ini katanya, negara mengimport sehingga RM900 juta bawang dari negara luar terutama India bagi memenuhi permintaan dalam pasaran tempatan.
Menurutnya, sasaran itu mampu dicapai apabila tuaian seperti di negeri ini melalui PKPS mencapai 96 tan metrik bagi satu hektar ladang selain projek di Perak, Pulau Pinang, Kelantan serta Kedah.
Mohamad Sabu memberitahu, projek tersebut juga mampu menjadi galakan kepada individu yang berminat dalam pertanian untuk mengusahakan tanaman bawang sebagai kerjaya kerana terdapat permintaan tinggi pada sumber makanan itu. – UTUSAN










