Jangan obses turunkan berat badan

Jangan obses turunkan berat badan – nasihat jaguh terjun

Wendy Ng masih mementingkan kesihatan selepas bersara daripada dunia sukan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HAMPIR setahun bersara, namun bekas jaguh terjun negara ini masih meneruskan rutinnya yang aktif seperti ketika bergelar atlet.

Wendy Ng, 32, mengambil pendekatan itu bagi memastikan tubuhnya kekal sihat dan cergas serta berat badan tidak melonjak.

Bezanya, rutin itu tidak seketat dahulu dan kini, dia lebih memfokuskan kepada senaman ringan serta santai.

Terbaharu, pemenang pingat emas Sukan SEA ini berkongsi keseronokannya bermain pickleball.

“Sukan ini sesuai bagi mereka yang ingin bersenam tanpa terlalu banyak tekanan.

“Sebenarnya kita tidak perlu terburu-buru buat senaman yang dahsyat, sebaliknya ikut kemampuan diri dan cuba tingkatkannya secara beransur-ansur,” katanya selepas majlis pembukaan cawangan ke-36 Salad Atelier di Menara Permata Sapura, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini.

Wendy turut menegur sikap segelintir masyarakat ketika ini yang obses menurunkan berat badan dalam masa singkat.

Hinggakan ada yang menggunakan kaedah tidak sihat termasuk mengambil pil kurus.

Katanya, proses menurunkan berat badan memerlukan masa dan boleh dicapai menerusi bersenam secara konsisten.

“Jika ingin menurunkan berat, lakukannya dengan cara betul, proses itu mungkin perlahan tetapi ia lebih selamat dan memberi kesan jangka panjang.

“Jangan terlalu mendesak diri untuk melihat hasil secara pantas. Percayalah pada proses dan teruskan berusaha,” ujarnya.

Jelasnya, senaman secara teratur turut membolehkan kulit seseorang jadi awet muda dan tampak lebih berseri.

Selain bersenam, Wendy turut mengawal pemakanan dengan mengamalkan hidangan seimbang.

Katanya, amalan pemakanan yang baik melibatkan hidangan yang lengkap dengan pelbagai jenis nutrien.

“Kita tidak boleh makan sayur sahaja kerana karbohidrat dan protein juga penting untuk tubuh badan.

“Ia dapat memastikan metabolisme kita berfungsi dengan baik, malah sistem imun juga lebih kuat jika makan secara seimbang,” katanya.

Amal ‘cheat day’

Walaupun menitikberatkan soal pemakanan, namun kadangkala Wendy tetap melakukan cheat day.

Wanita ini gemar menikmati hidangan pedas seperti hotpot.

Baginya, tidak salah untuk seseorang melakukan cheat day kerana ia umpama ganjaran bagi menyuntik motivasi.

“Semasa bergelar atlet, latihan saya sangat ketat iaitu enam kali seminggu di samping kawalan diet.

“Tetapi saya pun manusia biasa yang ada keinginan makan sedap-sedap, maka sebulan sekali saya pasti buat cheat day disusuli dengan senaman untuk membakar kalori,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN