Guan Eng persoal kesetiaan UMNO

Guan Eng persoal kesetiaan UMNO

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kerjasama terbaharu antara UMNO dan Pas melalui himpunan solidariti untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Rayuan, Putrajaya pada 6 Januari ini dikhuatiri menggugat keutuhan kerajaan perpaduan.

Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng berkata, tindakan UMNO yang merupakan sebahagian daripada kerajaan boleh menimbulkan keraguan terhadap kese­tiaan parti itu kepada kerjasama yang sedia terjalin.

“UMNO mesti sedar bahawa sebarang program bersama dengan parti pembangkang, baik perhimpunan solidariti atau demonstrasi pasti akan menimbulkan keraguan tentang kestabilan politik serta kedudukan parti itu dalam kerajaan.

KEIKHLASAN

“Selain itu, ia juga menimbulkan kesan ke atas keyakinan rakyat terhadap keikhlasan UMNO yang menubuhkan kerajaan perpaduan atas per­kenan Yang di-Pertuan Agung pada 2022,” katanya di sini, semalam.

Guan Eng berkata, perhimpunan itu adalah kerjasama pertama UMNO dan Pas sejak 2022 iaitu selepas berak­hirnya Muafakat Nasional (MN).

“Program bersama ini me­nimbulkan tanda tanya sama ada UMNO benar-benar ikhlas dalam komitmennya kepada kerajaan perpaduan,” kata beliau.

Malah, Guan Eng berkata, perhimpunan bersama Pas itu diburukkan lagi dengan serangan peribadi Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, Akmal mempersoalkan prosedur yang diguna pakai oleh Yang di Pertuan Agong pada 16 Mei 2018 yang menganugerahkan pengampunan penuh kepada Anwar pada masa itu.

MENCABAR

“Sebagai ahli kerajaan perpaduan, tindakan sedemikian secara terbuka berniat mencabar, malah, ia boleh menggugat kestabilan politik negara.

“Jadi, saya mohon agar tindakan yang sewajarnya dapat diambil oleh Perdana Menteri untuk membetulkan keadaan ini demi mengekalkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan perpaduan,” katanya.

DR. MUHAMAD AKMAL SALEH

Sementara itu, Dr. Akmal berkata, perhimpunan solida­riti Najib tidak ada kena mengena dengan kerajaan perpaduan, sebaliknya ia dilakukan sebagai tanda sokongan terhadap bekas pemimpin nombor satu parti tersebut.

“Ini bukan perhimpunan se­perti perhimpunan Bersih (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil) yang kamu buat dahulu, sampai huru-hara, sampai terbalik kereta.

“Saya nak bagi tahu juga kepada Lim Guan Eng, kamu siapa nak bidas, (dan) arahkan UMNO?

“Lagi kuat kamu bidas UMNO, saya janji lagi ramai orang akan turun berhimpun pada 6 Januari ini,” katanya menerusi klip video dalam media sosialnya, semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN