MIRI: Empat individu termasuk tiga kanak-kanak ditemukan maut dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit, di sini, manakala seorang lagi mangsa belum dijumpai.
Setakat pukul tengah hari ini, enam mangsa dikeluarkan dengan empat daripadanya disahkan meninggal dunia.
Komander Operasi, Penguasa Kanan Bomba (PgKB II) Rafie Safar berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan sejurus selepas panggilan kecemasan diterima pada pukul 2.58 pagi.
“Setibanya di lokasi, kami dimaklumkan kemungkinan terdapat tujuh mangsa tertimbus. Setakat ini, empat ditemukan maut, termasuk tiga kanak-kanak.
“Pasukan SAR masih giat mengesan seorang lagi mangsa yang dipercayai seorang wanita dewasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, operasi yang melibatkan lebih 20 anggota bomba dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) serta anggota tentera turut menggunakan jentera berat bagi mempercepat usaha mengeluarkan mangsa.
Katanya, mangsa pertama seorang remaja perempuan dikeluarkan dalam keadaan cedera parah sekitar pukul 4.46 pagi, diikuti seorang wanita dewasa pada pukul 5 pagi.
“Pada pukul 6 pagi, seorang kanak-kanak lelaki ditemukan meninggal dunia sebelum operasi dihentikan sementara pada pukul 6.30 pagi akibat risiko aliran elektrik di sekitar rumah.
“Operasi SAR disambung semula pada pukul 7.50 pagi sebelum seorang wanita ditemukan tertimbus pada pukul 8.55 pagi dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya.
Katanya, dua lagi kanak-kanak perempuan ditemukan pada pukul 11.38 pagi dan 11.48 pagi, namun kedua-duanya disahkan meninggal dunia.
Rafie berkata, pasukan penyelamat berdepan cabaran besar sepanjang operasi susulan keadaan tanah yang tidak stabil serta risiko runtuhan susulan.
“Fokus utama kami sekarang adalah untuk menemukan mangsa terakhir yang masih hilang. Operasi ini akan diteruskan sehingga kesemua mangsa dikeluarkan,” katanya.
Tragedi yang berpunca daripada hujan lebat berterusan sejak dua hari lalu itu mengakibatkan dua buah rumah terjejas, iaitu Lot 287A dan Lot 287B, yang menempatkan 12 penghuni keseluruhan.
Operasi SAR masih diteruskan dengan harapan dapat menemukan mangsa terakhir dalam masa terdekat. – UTUSAN