PARIS: Polis Perancis menahan seorang lelaki berusia 22 tahun dipercayai warganegara Britain selepas didakwa cuba mengadakan majlis perkahwinan dengan seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun di Disneyland Paris, Sabtu lalu.
Insiden mengejutkan itu berlaku apabila kakitangan taman tema ternampak kehadiran kanak-kanak terbabit bersama keluarganya dan kira-kira 100 tetamu untuk menghadiri satu acara perkahwinan yang telah dijadualkan berlangsung seawal subuh.
Pihak pengurusan Disneyland Paris yang curiga dengan situasi tersebut segera menghubungi pihak berkuasa, sebelum pasukan polis tiba dan menahan lelaki berkenaan serta ibu kanak-kanak itu, seorang wanita Ukraine berusia 41 tahun.
Menurut kenyataan Pejabat Pendakwa Raya di Meaux, seramai empat individu ditahan untuk siasatan termasuk lelaki yang disyaki sebagai penganjur majlis dan dipercayai warga Britain berusia 22 tahun, ibu kepada kanak-kanak itu, serta dua lagi warga Latvia berusia 55 dan 24 tahun.
Kenyataan itu turut memaklumkan tahanan reman terhadap suspek warga Britain dan salah seorang warga Latvia dilanjutkan atas tuduhan penipuan dan pengubahan wang haram.
“Penyiasatan jenayah telah dibuka bagi menyiasat kes ini,” jelas kenyataan tersebut.
Disneyland Paris dalam satu kenyataan kepada akhbar Le Parisien berkata, acara berkenaan dihentikan serta-merta oleh pihak pengurusan sebaik sahaja mereka menyedari keadaan sebenar, dan semua tetamu dihalang daripada memasuki kawasan acara.
Pemeriksaan perubatan terhadap kanak-kanak itu mendapati tiada sebarang tanda keganasan fizikal, dan siasatan awal tidak menolak kemungkinan majlis itu hanyalah satu lakonan atau ‘prank’, dengan kehadiran para tetamu dipercayai sekadar sebagai pelakon tambahan (ekstra).
Sumber polis memaklumkan suspek lelaki mendakwa dirinya sebagai pengarah sebuah syarikat produksi dan majlis itu adalah sebahagian daripada rakaman video.










