GAZA: Ketika berita ini ditulis, nyawa penduduk Gaza terus diperjudikan Israel apabila mereka ditembak beramai-ramai ketika berjalan ke pusat agihan bantuan.
Zionis sewenang-wenangnya melepaskan tembakan atau menggugurkan bom terhadap penduduk Gaza yang terdesak mendapatkan bekalan makanan tanpa sedikit pun rasa belas ihsan.
Keadaan itu menyebabkan penduduk Gaza lebih rela berlapar daripada ditembak mati oleh Israel.
Mereka berkata, tiada beza jika mati kebuluran atau pun terkorban semasa mendapatkan makanan kerana itu sahaja pilihan yang ada.
Bekalan makanan, air dan ubat-ubatan di Gaza habis sepenuhnya malah bahan api untuk mengoperasikan pam air dan kumbahan, hospital, lori dan kenderaan untuk mengangkut longgokan sampah juga semakin kehabisan.
“Tentera Zionis membunuh secara purata seorang setiap 15 minit, seorang kanak-kanak setiap 20 minit dan seorang wanita setiap 40 minit,” kata Pengarah Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza, Dr Moneer al Borsh.
Dalam situasi yang menyayat hati ini, ramai ibu bapa di Gaza terpaksa berjalan jauh dan mempertaruhkan nyawa untuk sampai ke pusat pengagihan bantuan yang dikendalikan oleh Gaza Humanitarian Foundation (GHF) demi mendapatkan sedikit makanan untuk anak-anak mereka.
Pesuruhjaya Agung Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini mengutuk kaedah pengagihan bantuan oleh GHF sebagai perangkap maut.
Beliau menegaskan kaedah ini menghina, berbahaya serta memburukkan kelaparan dan menegaskan bantuan harus diagihkan secara selamat.










