SHAH ALAM: Cubaan kali pertama dua ‘keldai’ dadah menyeludup 30 kilogram (kg) syabu dengan bagasi gagal selepas dicekup polis di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, pada 22 Januari lalu.
Suspek lelaki berusia 25 dan 18 tahun itu diupah dengan bayaran RM600 bagi setiap kg dadah berkenaan yang mahu dibawa ke Miri, Sarawak.
Mereka yang masing-masing pemandu lori dan pengganggur ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA, kira-kira pukul 5.30 petang.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, penahanan itu membawa kepada rampasan dua bagasi mengandungi 30 plastik berisi dadah jenis syabu seberat 30.3 kg dengan anggaran bernilai RM967,000.
“Siasatan awal mendapati dua suspek yang berasal dari Sarawak itu pertama kali datang ke Semenanjung.
“Mereka telah dibawa sindiket ke sebuah apartment di Kota Warisan, Sepang selama empat hari sebelum diberi bagasi berisi dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini hari ini.
Menurut Hussien, semakan mendapati mereka yang negatif dadah masing-masing memiliki empat dan satu rekod jenayah lampau.
Dalam kes berasingan, beliau berkata, seorang pengawal keselamatan warga Britain berusia 36 tahun diberkas polis di sekitar Terminal KLIA pada 24 Januari lalu.
“Tangkapan itu membawa rampasan 31 kg dadah jenis ganja bernilai RM96,000 yang disorokkan dalam dua beg bagasinya.
“Suspek dipercayai tiba dari London pada 16 Januari lalu dan bekalan ganja itu dipercayai diperoleh dari Malaysia untuk pasaran luar negara,” katanya.
Tambah beliau, kesemua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN











