Caruman pekerja asing kukuh kewangan negara

Caruman pekerja asing kukuh kewangan negara

KEMASUKAN warga asing ke negara ini mencecah seramai 39.1 juta orang sepanjang tahun lalu.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Langkah mewajibkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada tenaga asing mengikut kadar sama seperti pekerja tempatan dijangka mengukuhkan kewangan negara. 

Koordinator Pusat Keusahawanan Mahasiswa Akademi Pembangunan dan Keusahawanan Malaysia (MASMED) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Mohamad Idham Md Razak berkata, pelaksanaan itu akan mengekalkan dana dalam ekonomi tempatan dan mengurangkan tekanan terhadap ringgit serta memberikan sumber untuk pelaburan produktif.

Katanya, aliran keluar wang yang besar telah mengurangkan kecairan dalam sistem kewangan tempatan dan nilai mata wang negara. 

“KWSP merupakan dana persaraan terbesar di Malaysia, dengan aset melebihi RM1 trilion. Caruman tambahan dari pekerja asing akan meningkatkan saiz dana. 

“Dana hasil daripada caruman pekerja asing ini boleh digunakan untuk pelaburan domestik atau pasaran modal yang mengurangkan tekanan aliran keluar wang.

“Wang yang terkumpul itu juga membolehkan KWSP melabur lebih banyak dalam projek-projek produktif seperti infrastruktur, teknologi atau pasaran saham tempatan,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Semalam, akhbar ini me­laporkan pekerja asing dianggarkan sudah membawa keluar wang mencecah RM70 bilion tahun lalu. Jumlah itu dijangka meningkat tahun ini berikutan pelaksanaan dasar gaji minimum.

Sehingga kini, sebanyak 2,438,468 pekerja asing berdaftar di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), manakala sebanyak 41,073 ialah pendatang asing tanpa izin (PATI) ditangkap pada tahun lalu.

Dalam pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bercadang mewajibkan semua pekerja bukan warganegara mencarum KWSP dalam dana persaraan sektor swasta dan akan dilaksanakan secara berfasa.

Dalam pada itu, pakar ekonomi, Prof Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, mencadangkan agar kerajaan mewajibkan pekerja asing diberi caruman yang lebih tinggi daripada pekerja tempatan. 

Katanya, caruman itu boleh disalurkan kepada peniaga-peniaga di Malaysia dalam bentuk pinjaman oleh KWSP untuk mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman bank dan lain-lain. 

“KWSP boleh memastikan pengeluaran oleh pekerja asing hanya dilakukan apabila pekerja balik ke negara asal untuk selamanya. 

“Tempoh pengeluaran juga adalah tiga tahun setelah berada di negara asal tanpa masuk semula ke Malaysia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×