Budak rayu bantuan RM65,000 rawat jantung berlubang

Budak empat tahun rayu bantuan RM65,000 rawat jantung berlubang

AZRA Azzahra (depan, kiri) bersama ibu bapanya ketika hadir ke pejabat One Hope Charity and Welfare di Bukit Mertajam, Pulau Pinang bagi memohon bantuan dana.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Seorang kanak-kanak berusia empat tahun, Azra Azzahra Azlan memerlukan bantuan dana orang ramai sebanyak RM65,000 bagi menjalani pembedahan merawat penyakit jantung berlubang dihidapinya.

Pengerusi badan amal, One Hope Charity and Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, pembedahan itu perlu dijalankan segera dalam usaha menyelamatkan nyawa Azra Azzahra selepas lubang di jantungnya tidak tertutup.

Katanya, masalah jantung kongenital dihadapi Azra Azzahra dikesan sejurus dilahirkan, namun, doktor pada awalnya memaklumkan keada­an ketika itu tidak serius dan hanya perlu dipantau.

“Ketika pemeriksaan pada usia dua tahun, doktor mengesan kebocoran injap jantung tetapi dia tidak menunjukkan sebarang gejala kritikal seperti sianosis, maka pembedahan tidak diperlukan pada waktu itu.

“Bagaimanapun Azra Azzahra baru-baru ini mula mengadu sakit dada dan mengalami masalah pernafasan,” katanya di sini, semalam.
Pemeriksaan lanjut mendapati lubang pada jantungnya semakin besar dan terletak berhampiran injap jantung, menyebabkan dia menghidap Ventricular Septal Defect (VSD) dan Aortic Regurgitation (AR).

Doktor mengesyorkan Azra menjalani pembedahan segera dalam usa­ha menyelamatkan nyawanya, namun memerlukan dana orang ramai sebanyak RM65,000.

“Bapanya, Azlan Abdul Halim, 35, merupakan seorang orang kurang upaya (OKU) akibat kemalangan jalan raya beberapa tahun lalu dan bekerja sebagai pembantu di gerai sate dengan upah RM70 sehari selain menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Ibunya pula, Nur Azmira Azmi, 35, seorang suri rumah yang sedang hamil anak keempat dan dijangka bersalin pada Ogos. Dua lagi anak perempuan pasangan itu berusia tiga dan enam tahun,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan, boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity and Welfare (nombor akaun 3201428817) atau layari onehopecharity.org. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN