KOTA KINABALU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak menolak kemungkinan bertanding lebih 18 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka diadakan pada tahun ini.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, jika pada PRN lalu mereka menang 11 daripada 18 kerusi yang ditandingi dalam masa yang singkat kerana baru bertapak di Sabah maka, pada kali ini mungkin lebih.
“Sekiranya dalam waktu yang singkat pun Bersatu boleh bertanding 18 kerusi jadi, pada PRN kali ini jika rakyat Sabah mahu, kami akan bertanding lebih banyak kerusi.
“Jika dibenarkan untuk buat begitu, kenapa tidak? Jika rakyat Sabah mahu kami buat begitu.
“Kita sudah berada di Sabah sejak 2020 maknanya, kita sudah bertapak di negeri ini selama lima tahun. Jadi dengan penambahan ahli-ahli, kita sudah cukup bersedia untuk menghadapi PRN Sabah,” katanya ketika ditemui semasa Jelajah Bersatu Sabah di Sepanggar, kelmarin.
Menurutnya, keadaan sekarang sedikit berbeza, biarpun Bersatu tidak mempunyai ramai wakil rakyat di Sabah namun, mereka mempunyai pemimpin benar-benar bertanggungjawab dalam menentukan mereka mempunyai wakil di Sabah.
Hamzah berkata, Bersatu akan bertanding di Sabah pada PRN kali ini dengan diketuai oleh Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee selaku Pengarah Pilihan Raya.
Mengulas tentang kerjasama di peringkat negeri Sabah, beliau berkata, Bersatu bersifat terbuka untuk menjalin kerjasama dengan parti yang mempunyai cara kepimpinan yang sama dan mahukan masa depan yang lebih baik untuk Sabah.
“Kita dalam waktu ini sebuah parti yang terbuka, tidak ada rundingan secara rasmi tapi, rundingan tidak rasmi, Ronald sudah bertemu dengan ramai rakan-rakan di Sabah,” katanya.-UTUSAN










