PERIBAHASA Inggeris ada menyebut, seekor ikan akan membusuk daripada kepala ke bawah. Ertinya, kepemimpinan adalah punca kegagalan sesebuah organisasi.
Manakala pepatah Arab pula mengatakan, rakyat yang baik akan menghasilkan pemimpin yang baik. Kedua-dua peribahasa dan pepatah ini menggambarkan betapa pentingnya mempunyai pemimpin yang berkualiti dalam sesebuah organisasi. Secara dasarnya, faktor-faktor yang membentuk sesebuah kepemimpinan yang baik ada tiga, iaitu pemimpin itu sendiri, pengikutnya dan organisasinya. Namun demikian, bagaimanakah sesebuah organisasi dapat membentuk pemimpin supaya mempunyai sifat-sifat yang berkualiti? Adakah setiap organisasi memacu budaya yang betul dalam membentuk pemimpinnya?
Simon Sinek, seorang guru kepimpinan era moden, dalam bukunya bertajuk Leaders Eats Last ada menulis bahawa budaya yang tidak baik akan melahirkan pemimpin yang tidak baik (bad culture breeds bad leaders). Beliau berhujah bahawa budaya sesebuah organisasi akan membentuk jenis pemimpin yang dihasilkannya. Jika baik budayanya, maka baiklah kualiti pemimpinnya. Manakala jika tidak baik budayanya, maka tidak baiklah kualiti pemimpinnya. Sebagai contoh, jika terdapat budaya organisasi yang tidak melibatkan pegawai mudanya dalam proses pembuatan sesuatu keputusan, kesannya, organisasi berkenaan sedang membentuk bakal pemimpinnya yang tidak terdedah dengan pengalaman dan kemahiran dalam membuat keputusan. Malah, budaya dan nilai-nilai murni seperti integriti dan amanah yang diamalkan dalam sesebuah organisasi turut mempengaruhi ciri-ciri pemimpin yang dihasilkan.
Kita boleh memahami perkara ini dengan melihat kepada skandal syarikat Enron di Amerika Syarikat. Syarikat yang mana perniagaan utamanya adalah dalam bidang tenaga, pernah menduduki tangga kelima dalam syarikat Fortune 500 pada tahun 2001.
Skandal Enron dilaporkan berpunca daripada amalan tidak berintegriti pekerjanya dengan melakukan penipuan akaun dalam urusniaga. Malah, perkara tersebut telah mendapat restu daripada pengurusan tertingginya. Sehinggakan penipuan turut dilakukan oleh salah sebuah syarikat audit yang diamanahkan dalam urusan pengauditan Enron. Pengurusan tertinggi syarikat Enron telah menolak ke tepi aspek integriti dan mengutamakan keuntungan. Mereka telah menerapkan budaya tidak baik ini ke dalam syarikat. Maka, kesannya ialah penghasilan pekerja-pekerja korup yang berpotensi untuk menjadi pemimpin yang korup.
KUALITI PEMIMPIN
Namun, timbul persoalan mengapakah terjadinya budaya atau amalan pemimpin yang tidak baik dan tidak kompeten dijulang? Malah, mengapa pula terdapat orang yang akan mengikutnya? Menurut ahli psikologi Robert Riggio, orang mengikuti pemimpin yang tidak baik kerana mereka berusaha mengalihkan perhatian daripada prestasinya sendiri yang tidak berapa baik atau mediocre. Hendaklah diingat, apabila sekumpulan orang mengikuti kepimpinan seseorang individu, adalah lebih sukar untuk mempersoalkan kepemimpinan tersebut tanpa diri sendiri dikecualikan daripada kumpulan itu.
Persoalannya, adakah dengan merafakkan individu yang kompeten akan menghasilkan organisasi yang lebih baik? Menurut Pluchino, Rapisardo dan Garofalo, individu yang kompeten tidak semestinya akan diangkat menjadi pemimpin.
Organisasi lebih cenderung untuk merafakkan individu berdasarkan prestasi dan tahap kompetensi mereka yang semasa, berbanding dengan menilai kemahiran yang diperlukan (potensi) pada jawatan yang lebih tinggi (pemimpin) tersebut. Seterusnya, jika ia tidak disulami dengan latihan kepimpinan yang sewajarnya dan ditambah pula dengan tabiat dan budaya tidak baik sedia ada, maka terjadilah pemimpin tidak kompeten serta tidak baik.
PEMIMPIN BERKUALITI
John C. Maxwell pernah berkata, “Sesuatu visi akan menjadi mimpi ngeri apabila pemimpin mempunyai impian besar tetapi pasukan yang teruk (A vision becomes a nightmare when the leader has a big dream and a bad team)”. Wujud budaya dalam organisasi di mana terdapat pemimpin yang tidak akan memilih pengikutnya yang dilihat sebagai bijak atau berpotensi. Ini kerana dikhuatiri mereka ini akan melangkaui pemimpin tersebut atau dibayangi oleh mereka. Dalam konteks ini, jika seseorang pemimpin itu tidak dapat mensyukuri nikmat dikurniakan pengikut yang bijak, beliau hendaklah muhasabah sekiranya diberikan pengikut yang dungu. Ia bukan sahaja akan menyusahkan diri pemimpin tersebut, malah akan timbal balik terhadap imejnya kelak.
Ini juga merupakan antara budaya organisasi yang perlu dikikis. Pengikut akan menjadi cerminan pemimpinnya. Budaya organisasi dan kepemimpinan saling melengkapi antara satu sama lain.
Budaya kepimpinan yang baik hendaklah ditanam dan diamalkan oleh setiap organisasi. Manakala pembudayaan etika dan nilai-nilai murni perlu turut dilaksanakan secara berterusan dalam setiap organisasi. Hal ini adalah penting bagi memastikan pemimpin pelapis yang berkualiti dan dibentuk dalam acuan yang betul dapat dihasilkan secara berterusan pada masa akan datang. Malah, perancangan penggantian dalam organisasi dapat berlangsung dengan berkesan. Manakala cabaran utama dalam perkara ini ialah memastikan pembudayaan tersebut sentiasa berlangsung dan diutamakan oleh setiap pengurusan tertinggi sesebuah organisasi.
Kepimpinan yang baik akan melahirkan resam yang elok dan memastikan kakitangan menjaga budaya organisasi. Proses pembudayaan dan pembentukan generasi baharu pemimpin hendaklah sentiasa berlangsung. Ini adalah supaya negara tidak ketandusan pemimpin pelapis pada masa akan datang. Namun demikian, pemimpin pelapis ini hendaklah dibentuk dengan corak yang tepat. Dengan ini, diharapkan supaya kelangsungan pembudayaan yang safi di setiap organisasi akan berlaku. – UTUSAN
SAIFUL Ezane Mazlan ialah Perunding Latihan Kanan di Pusat Pengajian Pengurusan dan Kepimpinan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).










