TIDAK TERJEJAS DENGAN KEBERADAAN UMNO
Dalam Kerajaan Perpaduan, UMNO dilihat lebih dominan. Biasalah mereka lebih besar. Saya akui Amanah tidaklah besar tetapi saya berbangga parti ini dapat bertahan. UMNO ini parti paling besar ditubuhkan selepas Parti Melayu Semangat 46 atau Semangat 46 yang terdiri daripada bekas menteri, bekas majlis tertinggi UMNO. Mereka bertahan dua kali dalam pilihan raya, selepas itu tiada lagi parti itu.
Amanah ditubuh pada 2015, hadapi pilihan raya umum (PRU) 2018 dan menjadi kerajaan. Kemudian kita hadapi PRU 2022 dan menang sekali lagi.
Kami mungkin dilihat kurang terserlah kerana masih dianggap baharu. Ahli kami sekadar 100,000 orang, namun kekuatan kami di atas gabungan antara parti-parti dalam PH. Jika Amanah bergerak sendiri, saya tidak tahu berapa jumlah undi yang boleh diperoleh.
Semasa 2018, kita menang 11 kerusi, kemudian 2022 memperoleh lapan kerusi. Amanah adalah sebuah parti yang agak berlainan kerana mendapat sokongan di kawasan berbilang bangsa. Saya sendiri menang majoriti 74,000 undi di Kota Raja.
Jika dulu mahu menebusi kubu kuat UMNO dan Pas agak sukar tetapi makin hari makin cerah. Lihat sahaja bagaimana kami (PH) menang di Kota Lama dan Nenggiri di Kelantan. Kita berjaya tembusi kawasan Pas dengan cemerlang. Oleh itu, kita akan kembangkan Amanah di kawasan Melayu khasnya di Kelantan.
Berhubung pembahagian kerusi belum bermula tetapi kami sedar kini perlu berebut dengan Barisan Nasional (BN) selain parti-parti asal dalam gabungan PH. Mereka ada kekuatan, kami juga ada kekuatan tersendiri tetapi saya berharap Amanah masih diberi peluang untuk bertanding di kerusi-kerusi yang sesuai.
UMNO BERJAYA KEMBALIKAN SOKONGAN ORANG MELAYU
Jika melihat beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) di Nenggiri dan Mahkota, sudah ada unsur-unsur orang Melayu kembali menyokong UMNO. Tiada istilh Amanah cemburu terhadap kejayaan UMNO.
UMNO adalah rakan kami. Kejayaan mereka adalah kejayaan kami juga yang berhempas pulas memenangkan calon di Nenggiri dan Mahkota. Begitu juga mereka bekerja keras menangkan calon kami di Pulai dan Simpang Jeram di Johor.
Saya berharap kerjasama sama ini terus berjalan dengan baik dan ‘jodoh’ ini berkekalan.
KERAJAAN PERPADUAN BERJAYA HARUNGI CABARAN BERAT
Kita tahu kerajaan ini yang paling ‘berat’ (tanggungjawab) sekali kerana terpaksa berdepan hutang yang mencecah lebih RM1.3 trilion. Walau bagaimanapun kerajaan tetap berusaha membuat penyelarasan subsidi dan sebagainya untuk pastikan kewangan negara lebih kukuh.
Lagipun perdana menteri cukup rajin, jika lihat jadual beliau memang sibuk bertemu dengan pelabur-pelabur. Nampaknya ia memberi kesan dan semua bank serta sektor utama menunjukkan keuntungan.
Melalui penyelarasan gaji pula, kita harapkan pekerja lebih semangat untuk bersama-sama membina negara yang lebih baik pada masa akan datang.
Ekonomi sedang berkembang. Kalau semua yang dirancang boleh dilaksanakan, tidak berlaku apa-apa perang, saya ingat ekonomi akan berkembang dengan baik. Insya-Allah.
DIANGGAP SEBAGAI MENTERI YANG GAGAL
Saya tidak tahu daripada aspek mana mereka menilai, bagaimana mereka memberi markah? Adakah mereka hanya lihat dari satu sudut iaitu beras?
Tidakkah mereka nampak kejayaan kementerian ini yang lain seperti eksport nanas yang dah naik lebih 100 peratus? Akuakultur kita sudah sampai 100 peratus SSR sehingga boleh eksport ke China, termasuklah durian segar pun sudah boleh dieksport. Bawang pun kita dah mula tanam di negara ini. Masalah beras ini sudah ada sejak era LPN lagi. Tidak adillah menilai saya hanya disebabkan isu beras sahaja.










