CYBERJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah memperkenan pindaan beberapa akta bertujuan menangani isu ancaman buli siber sekali gus memperkasa keselamatan dalam talian.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Sultan Ibrahim memperkenan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia, akta berkait Kanun Keseksaan dan Akta Keselamatan Dalam Talian.
“Sebaik ia diwartakan, akta berkenaan akan digunakan bagi menangani isu pedofilia dalam talian, jenayah seksual terhadap kanak-kanak, buli siber dan juga scam,” katanya ketika berucap melancarkan Chatbot Sebenarnya.my atau dikenali sebagai Bantu Semak Fakta Kecerdasan Buatan (AIFA) di sini semalam.
Pada awal Disember lalu, Sidang Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024.
Fahmi ketika menggulung perbahasan RUU itu berkata, Seksyen 233 di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) tidak dimansuhkan untuk mengelak penyalahgunaan rangkaian oleh mana-mana pihak bagi tujuan komersial khususnya penjualan pornografi dan pedofilia.
Dewan Rakyat turut meluluskan RUU Keselamatan Dalam Talian 2024 pada 11 Disember lalu bertujuan meningkatkan dan menggalakkan keselamatan dalam talian di Malaysia.
Pada sidang media sama, Fahmi berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti dokumen yang dihantar penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial bagi memperoleh lesen beroperasi di negara ini.
“Setakat semalam, Meta Platforms Inc (Meta) telah menghantar sejumlah dokumen. Kita sedang memproses perkara itu dan ia dijangka tidak terlalu lama untuk dilesenkan.
“Bagi penyedia platform lain seperti Google dan Microsoft yang menguruskan LinkedIn dan juga X, MCMC sedang susuli perkara itu kerana masing-masing mempunyai pandangan,” katanya.
Selain itu, Fahmi berkata, Chatbot Sebenarnya.my yang berfungsi memerangi maklumat palsu dan membolehkan pengguna menyemak berita yang tidak disahkan dalam talian.
Beliau berkata, ia platform mesra pengguna dan boleh diakses 24 jam menerusi portal https://sebenarnya.my/ dan platform WhatsApp yang dibangunkan dengan teknologi kecerdasan buatan (AI).
“AIFA juga berperanan meningkatkan fungsi portal Sebenarnya.my, dengan tiga objektif utama termasuk membantu rakyat menyemak dan mendapatkan maklumat sahih secara cepat dan mudah.
“AIFA adalah alat penting untuk memperkasa rakyat dengan maklumat yang telah disahkan oleh pihak berwajib, dan mengurangkan impak buruk daripada maklumat palsu yang tersebar,” katanya.










