‘Acu muncul dalam mimpi minta ajar mengucap’

‘Acu muncul dalam mimpi minta ajar mengucap’

NAZIROH Saad di samping adiknya, Saiful, 49, menunjukkan gambar adik mereka, Siti Rohani di Kampung Kuala Lanjut, Pendang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kakak kepada Siti Rohani Saad mengakui sering bermimpi bersama adiknya sejak kehilangan wanita itu pada November tahun lepas.

Naziroh Saad, 51, memberitahu, dia bagaimanapun menganggap mimpi itu sebagai mainan tidur selain berkemungkinan kerana terlalu merindui adik bongsunya meskipun ia banyak terjadi.

“Kali terakhir beberapa minggu lepas, saya bermimpi Siti Rohani datang dan menyuruh saya mengajarnya mengucap ‘Kak tolong ajar Acu (panggilan Siti Rohani) mengucap’ Saya terjaga dan perasaan berdebar-debar.

“Saya menganggap itu mainan mimpi sahaja mungkin kerana terlalu rindukan dia,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kuala Lanjut di sini semalam.

Akhbar sebelum ini melaporkan kehilangan Siti Rohani, 37, selepas motosikal miliknya ditemukan di tebing Sungai Titi Haji Idris, pada 8 November lepas. Wanita itu dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Jalan Pegawai pada pagi kejadian.

Kelmarin, satu mayat wanita ditemukan oleh orang awam dalam keadaan mereput di tebing Sungai Kedah dekat Alor Mengkudu yang dikaitkan oleh pihak berkuasa dengan kehilangan Siti Rohani.

Tambah Naziroh yang tinggal serumah dengan adiknya, mereka sebelum ini menaruh harapan agar Siti Rohani kembali satu hari nanti, sehingga perkembangan terkini penemuan mayat wanita itu kira-kira 10 kilometer dari tempat motosikalnya ditemukan kelmarin.

“Saya selalu harap dapat panggilan Siti Rohani akan pulang atau tiba-tiba dia muncul di hadapan pintu rumah kami seperti yang selalu saya mimpi. Namun panggilan kelmarin menyuruh kami membuat pengecaman mayat ditemukan itu menjadikan kami reda.

“Kami sekeluarga akan terima apa juga keputusannya dan akan reda kerana ini adalah ketentuan Allah SWT. Kami semua akan tabah dan cekal dengan keputusan itu,” katanya.

Katanya, seluruh keluarganya kini menantikan dengan sabar hasil keputusan bedah siasat dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang akan diketahui tidak lama lagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, hasil bedah siasat ke atas mayat yang ditemukan di Sungai Kedah mendapati punca kematian tidak dapat dipastikan berikutan keadaan pereputan mayat.

“Tidak dapat dipastikan kerana mayat mereput. Kita tunggu laporan ujian DNA dari makmal kimia,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, polis memanggil waris kepada wanita itu semalam untuk proses pengecaman dan menjalani proses perbandingan DNA bagi mengenalpasti identiti mayat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×