17 tahun gantung baju, gambar Sharlinie

17 tahun gantung baju, gambar Sharlinie

SURAYA Ahmad menunjukkan pakaian dan gambar Sharlinie Mohd. Nashar yang digantung di rumahnya di Kampung Padang Pulut, Dungun, Terengganu. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: “Kalau sayang dan masih ingat pada ibu, pulanglah. Ibu mahu peluk dan cium Nini, ibu sangat merinduimu. Ibu tunggu Nini pulang.”

Itu luahan Suraya Ahmad, ibu kepada Sharlinie Mohd. Nashar, yang hilang ketika berusia empat tahun di Taman Medan, Petaling Jaya pada 9 Januari 2008.

Suraya, 45, berkata, meskipun sudah 17 tahun hilang tanpa khabar berita, dia percaya anaknya itu masih hidup dan dijaga dengan baik oleh individu yang dipercayai menculik anak ketiga daripada empat adik beradik itu.

Katanya, selain dua keping gambar Sharlinie yang dilekatkan pada dinding rumahnya, dia turut menggantung tiga pasang pakaian yang sering dipakai Sharlinie di dalam bilik tidurnya sebagai pengubat kerinduannya.

“Sudah 17 tahun saya gantung gambar dan pakaiannya, setiap kali rindu saya akan melihat gambarnya dan memeluk pakaian itu.

“Saya yakin, Nini akan pulang ke pangkuan keluarga satu hari nanti. Setiap hari saya berdoa agar dia selamat dan pulang. Kalau dia ditemukan hari ini, usianya kini mencecah 21 tahun,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Padang Pulut, di sini, semalam.

Pada Januari 2008, kanak-kanak itu dilaporkan hilang ketika keluar bermain bersama kakaknya, Sharliena, yang ketika itu berusia tujuh tahun di taman permainan iaitu hanya kira-kira 200 meter dari rumah mereka di Taman Medan.

Kata Suraya, ingatannya terhadap Sharlinie semakin kuat setiap kali bulan Januari tiba berikutan tarikh lahir anaknya juga jatuh pada 30 Januari.

“Kami hanya sempat menyambut hari lahir Ninie tiga kali kerana dia hilang tiga minggu sebelum hari lahirnya tiba,” kata ibu kepada empat orang anak itu.

Sementara itu, Sharlina, 24, berkata, dia sangat merindui keletah adiknya yang sangat periang dan suka menyanyi di sebalik pintu.

“Nini seorang yang sangat manja sebab ketika itu dia merupakan anak bongsu sebelum adik lelaki kami lahir dua tahun selepas kehilangannya.

“Setiap kali pulang ke rumah nenek kami di Taman Medan, hati kami sekeluarga sangat sayu melihat taman permainan tempat dia dipercayai hilang,” katanya.

Sharlina yang sudah berumah tangga dan memiliki seorang cahaya mata berkata, dia sering mengimbau kembali detik-detik kehilangan adiknya.

“Kami sekeluarga sangat berharap adik akan pulang ke pangkuan keluarga. Kalau boleh kami mahu berpuasa dan sambut hari raya bersama-sama,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×