TANJUNG MALIM: Berbekalkan keazaman dan mahu mencipta kelainan, seorang usahawan berani mencuba menghasilkan produk cecair mencuci pakaian dan pinggan jenama Yufa sejak hampir setahun lalu.
Bertempat di sebuah bengkel di Kampung Guntong, Sungkai di sini, Mohd Soffian Yahya, 54, berkata, pada mulanya, dia menghasilkan sabun itu secara biasa iaitu menggaul bahan-bahannya dalam baldi bersaiz besar.
“Cara memprosesnya mengambil masa yang lama untuk menjadikan semua bahan menjadi sebati kemudian cecair itu dituangkan dalam botol yang mengambil masa selama beberapa jam untuk disiapkan.
“Setakat ini, produk ini mendapat sambutan baik daripada penduduk kampung, kedai runcit dan pasar mini sekitar Sungkai dan Trolak,” katanya di sini semalam.
Katanya lagi, dia mempelajari cara-cara menghasilkan produk cucian itu menerusi internet dan bacaan.
“Sekarang agak mudah ada Youtube, Facebook, Tik Tok selain perkongsian kisah usahawan yang menghasilkan produk sebegini dalam internet.
“Kita belajar sedikit demi sedikit selain melakukan eksperimen selama beberapa kali sebelum mendapatkan hasil terbaik,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Guntong Mohd Noor Samah, 61, berkata, pihaknya telah menerima dana Program Sejahtera Komuniti Madani (Sejati Madani) sebanyak RM50,000 untuk membeli kelengkapan seperti mesin pengisar dan peralatan moden lain untuk kegunaan Mohd Soffian.
“Ini dapat meningkatkan kapasiti pengeluaran produknya berbanding sebelum ini dan meluaskan lagi jangkauan pemasaran di daerah lain di negeri ini.
“Memang tidak dapat menandingi jenama terkenal lain namun ia ternyata dapat menambah pendapatan penduduk kampung menerusi pelantikan ejen,” katanya.










