KULAI: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh jirannya di Jalan Murni, Taman Bahagia, Senai, bulan lalu.
Jurubahasa mahkamah terpaksa membaca pertuduhan sebanyak tiga kali apabila tertuduh, Chua Yun Cheng, 34, memaklumkan tidak memahaminya termasuk mengatakan dia tidak membunuh mangsa.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa membunuh Chin Lin Fook, 67, di ruang tamu sebuah rumah di Taman Bahagia pada pukul 12.43 tengah malam, 27 November lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dihukum dengan sebatan minimum 12 kali, jika disabitkan kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh di hadapan Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Othman Affan Ismail, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Mahkamah kemudian menetapkan 7 Januari 2025 sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan laporan kimia, bedah siasat serta forensik. – UTUSAN