ALOR SETAR: Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetap diteruskan mengikut jadual walaupun berlaku banjir gelombang kedua.
Ini berdasarkan kepada kesiapsiagaan semua pihak terlibat dalam menghadapi bencana banjir sepanjang musim Monsun Timur Laut ini sehingga Mac tahun depan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, di peringkat kementerian itu, Op Payung akan terus diaktifkan bagi menangani semua isu yang terkait dengan persekolahan, peperiksaan dan bencana banjir.
“Kita berdoa supaya tidak berlaku perkara tidak diingini. Macam saya sebut dan ulang sebut bahawa Op Payung diaktifkan. Jadi ini bermakna persiapan kita bukan sahaja soal keselamatan, kebajikan tetapi secara keseluruhan termasuk peperiksaan SPM itu.
“Maknanya kita bersedia melaksanakannya daripada hari pertama peperiksaan tempoh hari. Ujian itu akan terus kita pastikan dan pantau dengan ketat agar semua pelajar dapat menghadapi peperiksaan dengan selamat dan Op Payung bersedia setiap masa,” katanya selepas meninjau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gunong, di sini yang terjejas akibat bencana banjir pada bulan lepas.
Tambah Fadhlina, kementerian terlibat termasuk semua jentera di peringkat agensi bersedia untuk menggerakkan Op Payung tersebut sekiranya berlaku bencana banjir bila-bila masa.
“Jadi kita sudah bersiap untuk apa sahaja kemungkinan dan semua pegawai, jentera peringkat agensi telah bersedia. Kita harap sesi ini dapat berlangsung dengan baik selepas ini.
“Kita juga membuat persiapan sekiranya gelombang kedua, ketiga yang sebagaimana dipersiapkan minda dan emosi oleh pihak MetMalaysia untuk berhadapan dengan gelombang-gelombang selanjutnya,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Fadhlina memberitahu, kementerian akan memberikan sokongan psikososial bagi mengesan tanda awal gangguan psikologi akibat bencana dan melaksanakan pemulihan bagi mengurangkan kesan trauma jangka panjang di samping murid dan warga pendidikan kembali menjalani pembelajaran dengan lebih stabil dan kondusif.
Katanya, tumpuan berkenaan melibatkan langkah menyeluruh bukan sahaja merangkumi operasi pusat pemindahan sementara (PPS), tetapi juga sokongan psikososial dan emosi kepada mangsa bencana.
“Fokus kementerian sewaktu bencana tidak hanya terbatas kepada kelancaran pengoperasian PPS dan peperiksaan semata-mata.
“Sebaliknya, ia turut merangkumi elemen kesejahteraan psikologi dan sosial. Kekuatan ini bukan baharu, ia telah sedia dibangunkan KPM sejak sekian lama dan pastinya akan terus diperkukuhkan dari masa ke semasa.
“Kaunselor akan digerakkan untuk membantu dari aspek sokongan psikososial. Ia bertujuan memulihkan emosi mangsa dan keluarga yang terjejas.
“Sokongan psikososial ini adalah untuk menyediakan intervensi bagi mengesan tanda-tanda awal gangguan psikologi dan memberikan bantuan segera, melaksanakan pemulihan serta mengurangkan kesan jangka panjang termasuk trauma akibat bencana,” katanya.
Sebelum ini, seramai 23,957 orang murid yang terjejas dengan banjir ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sejak Monsun Timur Laut (MTL) bermula pada 5 November lalu.
Pelaksanaan inisiatif Pasukan Sokongan Pintar (SST) untuk memberi sokongan psikososial dan emosi serta Pasukan Sokongan Akademi (AST) bagi membantu murid meneruskan pembelajaran sewaktu di PPS.
Sehingga kini, seramai 1,580 orang jurulatih SST dan AST yang berpengalaman telah digerakkan untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.
Seramai 310 orang kaunselor terlatih turut ditugaskan untuk membantu calon peperiksaan SPM yang terjejas banjir. – UTUSAN










