PETALING JAYA: Institusi perubatan awam di negara ini bakal berdepan masalah besar ekoran kekurangan kemudahan sistem komputer yang lebih efisien.
Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, sistem kerja dalam kalangan kakitangan perubatan awam turut ketinggalan dan tidak memenuhi aspek keperluan masa kini.
“Walaupun untuk menjejak laporan ujian darah yang mudah, doktor tidak dapat mengaksesnya melalui sistem komputer.
“Banyak negara sudah maju ke arah penggunaan kecerdasan buatan (AI), tetapi doktor di hospital kerajaan masih tidak mempunyai sistem komputer asas dan terpaksa mencatat laporan perubatan secara manual,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Dominic dalam masa sama turut memberi contoh Hospital Selayang yang pernah menyasarkan untuk menjadi hospital moden tanpa kertas.
“Namun, menurut maklumat yang diperoleh, hospital tersebut tidak mempunyai sistem komputer asas untuk menjalani ujian darah.
“Pesakit atau ahli keluarga perlu membawa sampel darah dan borang ke makmal secara manual, menunggu laporan siap dan kemudian membawanya kembali kepada doktor,” jelasnya.
Sementara itu apa yang mengecewakan, ujar Dominic, kerajaan seolah-olah mengetepikan kepentingan sistem komputer yang lebih moden dalam tata cara kerja kakitangan perubatan.
“Saya tidak faham mengapa kerajaan tidak membangunkan sistem komputer yang boleh merekodkan semua maklumat pesakit supaya doktor hanya perlu menekan beberapa kekunci untuk memahami keadaan pesakit,” jelasnya. – UTUSAN








