KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan memperkenalkan satu sistem khusus bagi meningkatkan ketelusan caj rawatan di hospital.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, sistem tersebut yang dikenali Kumpulan Terkait Diagnosis (DRG) melibatkan pelaksanaan metodologi untuk menyeragamkan sistem pembayaran khususnya dalam pengurusan kesihatan peribadi.
Menurut beliau, sistem itu sudah digunakan di negara-negara maju seperti Eropah, Amerika Syarikat, Korea dan Jepun untuk menetapkan harga bagi prosedur dan rawatan mengikut julat tertentu berdasarkan jenis penyakit atau prosedur yang dilakukan.
“Sistem ini membolehkan kadar bayaran untuk setiap prosedur atau penyakit dapat ditentukan dan diseragamkan dengan lebih mudah dan konsisten.
“Perbincangan mengenai literasi harga dalam sektor kesihatan memberi kesedaran tiada pihak yang boleh mengenakan bayaran yang dianggap tidak wajar atau terlalu mahal kerana orang ramai kini lebih celik dan memahami tentang DRG,” katanya selepas Majlis Perasmian Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDEC) 2024, di sini hari ini.
DRG adalah sistem klasifikasi yang digunakan untuk mengkategorikan prosedur perubatan seperti rawatan berkaitan paru-paru atau jantung yang merujuk kepada klasifikasi antarabangsa penyakit (ICD).
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, melalui sistem DRG, ia dapat memastikan harga rawatan di hospital swasta lebih terkawal dan selaras dengan standard yang ditetapkan tanpa perlu mengawal harga secara langsung.
Kata beliau, walaupun KKM tidak mempunyai kuasa untuk mengawal harga di hospital swasta, sistem ini akan membantu mengurangkan inflasi yang tidak wajar dalam sektor kesihatan.
“Namun, penting untuk difahami ini bukanlah kawalan harga, tetapi lebih kepada satu sistem keseragaman yang diyakini dapat membantu mengekang kenaikan harga yang tidak terkawal.
“Ini adalah salah satu daripada reformasi dalam pembiayaan kewangan yang sudah lama dirancang dan kini ia sudah semakin mencapai tahap yang boleh dilaksanakan. Pada masa ini KKM sedang mengadakan perbincangan sebelum dilaksanakan,” katanya.
Ketika ini, KKM sedang melaksanakan libat urus bersama Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan pihak berkaitan yang lain sebelum sistem DRG diperkenalkan.
Sementara itu, Dzulkefly berkata, industri peranti perubatan menyumbang kira-kira RM18 bilion kepada ekonomi negara pada 2023 dan mencipta sebanyak 95,000 peluang pekerjaan sejak 2012.
Kata beliau, Malaysia juga menjadi pengeluar global utama produk perubatan berasaskan getah dengan memenuhi 60 peratus permintaan dunia bagi produk sarung tangan.
“Lebih 200 pengeluar tempatan dan 30 syarikat multinasional (MNC) yang beroperasi, Malaysia terus mengukuhkan kedudukan sebagai antara pengeluaran peranti perubatan terbaik dunia,” katanya. – UTUSAN