JOHOR BAHRU: Taktik sindiket pengedaran dadah menjadikan sebuah lori rosak di Taman Johor Jaya, di sini sebagai tempat simpanan, berjaya dibongkar selepas penjaganya, seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun, ditahan polis 25 November lalu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, serbuan itu melibatkan rampasan dadah jenis syabu seberat 27.258 kilogram bernilai RM872,256.
Katanya, serbuan dilakukan sekumpulan pegawai dan anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan dadah tersebut disimpan sebelum diedar ke pasaran dan diseludup ke negara jiran.
“Jika dibiarkan, ia boleh digunakan seramai 54,516 penagih manakala sindiket itu dikesan telah aktif beroperasi sejak Oktober tahun ini,” katanya, hari ini.
Tambah Mohd. Sohaimi, ujian urin mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan turut mempunyai 23 rekod lampau melibatkan kesalahan jenayah dan dadah.
“Suspek direman 14 hari hingga 9 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati sekiranya bersalah.
“Polis meminta orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kesalahan jenayah yang didapati berlaku di sekeliling mereka,” jelasnya. – UTUSAN