Sebatan ambil masa dua minit

Sebatan ambil masa dua minit, pesalah khalwat tenang jalani hukuman

MOHD. Affendi Awang diiringi pegawai penjara dibawa keluar setelah selesai menjalani hukuman dari dewan sebatan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang baru-baru ini.-UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang duda menjalani hukuman enam kali sebatan di khalayak ramai setelah didapati bersalah melakukan khalwat berulang di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, di sini, semalam.

Proses hukuman sebat terhadap pesalah khalwat berulang, Mohd. Affendi Awang itu berjalan lancar dan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan hanya dua minit diambil untuk menyelesaikannya.

Mohd. Affendi, 42,  yang juga tukang rumah dari Kerteh, Kemaman merupakan individu pertama dikenakan hukuman sebat di khalayak ramai dan denda RM3,000 selepas Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat berkuat kuasa pada  1 Januari  lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Hukuman sebat tersebut dijalankan di bahagian belakang badan ke atas lelaki itu setelah Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail membuat keputusan hukuman itu dalam prosiding pada 20 November lalu.

Ketika hukuman dijalankan selama dua minit, lelaki tersebut tidak menunjukkan sebarang reaksi sebaliknya kelihatan tenang ketika disebat oleh Pegawai Sebat Penjara Marang.

Duda lima anak itu didapati bersalah berkhalwat kali ketiga dengan wanita berbeza berusia 52 tahun di sebuah rumah di Kemaman kira-kira pukul 1.40 pagi pada 16 Jun lalu.

Untuk rekod, pada 19 Februari lalu, Mohd.  Affendi juga menjadi pesalah lelaki pertama 

dijatuhi hukuman empat sebatan  di dalam penjara mengikut enakmen yang sama setelah didakwa melakukan khalwat di sebuah premis di Jalan Penghiburan, Kemaman kira-kira pukul 1.10 pagi, 25 Januari lalu.

Terdahulu, Mohd. Affendi berpakaian penjara berwarna merah memakai penutup muka yang menaiki sebuah kenderaan Jabatan Penjara berwarna putih tiba di pekarangan masjid dan dibawa masuk ke dalam Dewan ‘Aasim masjid tersebut pada pukul 2.29 petang.

Lelaki itu turut dikawal ketat lebih 10 pegawai penjara dan polis. 

Duda tersebut selepas itu dibawa memasuki ke dalam sebuah bilik dalam dewan berkenaan kira-kira 20 minit untuk pemeriksaan kesihatan oleh pegawai perubatan sebelum hukuman sebabt bermula pukul 2.50 petang.

Hukuman sebat itu dilaksanakan di hadapan 90 orang yang mewakili Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, kerajaan negeri, Jabatan Penjara, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Masjid Al-Muktafi Billah Shah serta petugas media.

Pada masa sama, seramai 40 anggota polis bertugas mengawal keselamatan  di pekarangan masjid itu bagi memastikan proses hukuman sebat tersebut berjalan lancar.

Selepas selesai menjalani hukuman tersebut, Mohd. Affendi dibawa keluar dari dewan masjid tersebut pada pukul 2.55 petang dan kemudian menaiki semula kenderaan untuk dihantar pulang ke Penjara Marang.

Pada 6 Mei lalu, seorang ibu tunggal berusia 37 tahun yang melakukan kesalahan khalwat kali kedua telah menjadi wanita pertama menjalani hukuman enam kali sebatan di dalam Penjara Marang. 

Sebelum itu, pada 9 Mac 2018, pasangan lesbian berusia 22 dan 32 tahun telah dikenakan hukuman enam sebatan setiap seorang kerana melakukan kesalahan hubungan sejenis yang dilaksanakan di dewan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini