PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi dikemukakan ibu bapa kepada kanak-kanak autisme, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin, berkaitan pertuduhan mengabaikan anaknya, enam bulan lalu.
Pada 19 November lalu, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf, menghantar representasi kepada AGC untuk menyemak dan menarik balik tuduhan mengabaikan kanak-kanak itu.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin ketika sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Dr. Syahliza Warnoh.
Justeru, Raja Zaizul mencadangkan mahkamah menetapkan tarikh sebutan baharu untuk mengemas kini dokumen sebelum perbicaraan dimulakan.
“Pihak kami merujuk kepada surat representasi yang difailkan peguam terdahulu berkenaan kes ini.
“Pihak pendakwaan akan menyerahkan kesemua cakera padat (CD) analisis forensik yang dipohon sebelum tarikh sebutan yang dicadangkan iaitu pada 10 Januari hadapan dan apa-apa juga dokumen lain yang belum diserahkan jika ada,” ujar pendakwa raya itu.
Peguam-peguam bela yang baharu dilantik, M. Haresh dan Ramzani Idris mengesahkan mereka masih belum menerima CD analisis forensik dan beberapa dokumen-dokumen lain. Mereka juga memohon penangguhan perbicaraan kes itu yang sepatutnya bermula 21 Januari depan.
“Selain daripada dua CD analisa forensik ke atas telefon tertuduh yang disebutkan, terdapat juga laporan forensik yang masih belum diserahkan kepada pihak kami. Laporan forensik ini ada hubung kait dengan bedah siasat yang mana terdapat sampel-sampel yang diambil daripada mangsa bagi tujuan analisa.
“Pihak kami juga memohon agar tarikh bicara yang ditetapkan pada 21 hingga 24 Januari ini ditangguhkan kerana terdapat kes sambung bicara untuk tertuduh lain di Negeri Sembilan,” kata Haresh.
Mahkamah melapangkan tarikh bicara ditetapkan pada Januari tahun hadapan dan tarikh 3 hingga 7 Februari 2025 dikekalkan. Mahkamah turut menetapkan 10 hingga 14 Mac 2025 untuk perbicaraan kes itu.
Kes itu juga ditetapkan untuk sebutan bagi penyerahan dokumen pada 10 Januari 2025.
Pada 13 Jun lalu, Zaim Ikhwan dan Ismanira didakwa dan mengaku tidak bersalah mengabaikan anak mereka.
Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri berusia 29 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sekitar Jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN










