JOHOR BAHRU: Polis negeri mengeluarkan sebanyak 303 saman bagi pelbagai kesalahan dalam operasi khas motosikal dijalankan selama tiga hari hingga semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar dalam kenyataan di sini hari ini berkata, antara kesalahan dikesan ialah tidak memakai topi keledar, tiada lesen memandu, perlindungan insurans, pengubahsuaian serta tiada nombor plat.
“Kebanyakan motosikal disita merangkumi kesalahan penunggang motosikal tiada lesen memandu, tiada perlindungan insurans, kesalahan berkaitan nombor plat dan kesalahan lain termasuk pengubahsuaian,” katanya.
Operasi bertujuan mengekang kegiatan samseng jalanan selain mendidik pengguna, khasnya penunggang motosikal mematuhi peraturan jalan raya, turut menyita sebanyak 114 motosikal di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN










