PN yakin bentuk kerajaan Pahang selepas PRU16

PN yakin bentuk kerajaan Pahang selepas PRU16

JASRI JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Perikatan Nasional (PN) Pahang yakin dapat mempertahan 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sedia ada dan menawan lima atau enam lagi kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), seterusnya membentuk kerajaan negeri.

Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) Kuala Sentul yang juga Ahli Jawatankuasa PN Pahang, Datuk Jasri Jamaluddin bagaimanapun enggan mendedahkan kerusi tersebut sebaliknya berkata, ia merupakan kawasan majoriti Melayu.

“Untuk PRU16, kita yakin boleh menang lima atau enam kerusi lagi, tapi kita kena bersiap sedia daripada awal dengan strategi yang betul terutama dalam soal pemilihan calon.

“Saya yakin, gabungan PN yang terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas akan diberikan kepercayaan sebagai alternatif kepada Barisan Nasional (BN) di Pahang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sebelum ini, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan sebagai berkata, PN yakin mampu merampas tiga negeri iaitu Pahang, Perak dan Selangor pada PRU16 akan datang.

Pada PRU15 lalu, PN menang 17 kerusi DUN, BN (17) dan lapan kerusi Pakatan Harapan (PH).

PN memenangi kerusi DUN Cheka, Tanjung Lumpur, Luit, Chenor, Bukit Ibam, Kuala Sentul, Tahan, Damak, Pulau Tawar, Jengka, Beserah, Pulau Manis, Lanchang, Kuala Semantan, Panching, Lepar dan Sungai Lembing.

BN pula menang di Inderapura, Benta, Jenderak, Padang Tengku, Batu Talam, Kemayan, Jelai, Guai, Kerdau, Dong, Muadzam Shah, Peramu Jaya, Chini, Pelangai, Tioman dan Bebar selain turut merampas DUN Sabai daripada PH.

PH menerusi DAP pula menang di Tanah Rata, Tras, Triang, Mentakab, Bilut dan Ketari manakala PKR menang di Semambu dan Teruntum.

Pada PRU15 lalu, buat pertama kalinya kerajaan Pahang ‘tergantung’ kerana tidak ada mana-mana gabungan parti politik memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan. Selepas melalui fasa perundingan, BN dan PH akhirnya bersetuju bekerjasama membentuk kerajaan negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN