KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) terbuka untuk menerima mana-mana bekas pemimpin daripada parti lain termasuk UMNO.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd Halim berkata, PKR bebas untuk disertai oleh mana-mana individu.
Bagaimanapun, kata beliau, PKR tetap melakukan proses saringan terhadap permohonan penyertaan ke dalam parti.
“Kalau ada perkara yang sebelum ini dilihat sebagai perkara yang keruh atau tidak baik (maka) tinggalkan, anggap PKR sebagai permulaan baharu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin memilih untuk menyertai PKR selepas hampir dua tahun menyepi daripada arena politik.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Zahidi digugurkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Padang Besar seterusnya bertanding atas tiket Bebas di Parlimen itu dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi, namun tewas.
Zahidi sebelum ini menguasai Parlimen Padang Besar sejak dua penggal iaitu pada PRU 2013 dan 2018 malah beliau juga pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia dari 2021 hingga 2022.
Dalam pada itu, Adam Adli yang juga merupakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan enggan mengulas panjang mengenai hubungan antara PKR dan UMNO selepas penyertaan bekas pemimpin parti itu.
“Soal hubungan dengan UMNO, itu belum nampak apa-apa lagi. Saya rasa tidak perlu kita nak terlalu sentuh,” katanya.









