KUALA LUMPUR: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) mewujudkan ‘war room’ sebagai persiapan menghadapi kemungkinan banjir termenung selepas banjir besar yang berlaku sejak Oktober lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, beberapa agensi turut terlibat termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Selepas banjir biasanya akan ada banjir termenung. Jadi, apa yang kita perlu sediakan adalah dengan pam dan sebagainya.
“TNB pula untuk memastikan bekalan elektrik tidak terputus. JPS dan TNB juga sudah mewujudkan ‘war room’ sepanjang waktu bagi memantau keadaan air dan bekalan elektrik.
“Selain itu, dengan jumlah mangsa di sekitar 153,000 orang, kita juga memantau rapi (perkara ini), apatah lagi esok dijangka berlaku air pasang besar di laut,” katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Perasmian I-Nation Global Summit 2024, semalam.
Setakat pukul 9 pagi semalam, sebanyak 45,195 keluarga ditempatkan di 699 PPS di sembilan negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Kedah, Perlis, Johor, Pahang, Melaka dan Selangor.
Dalam pada itu, Fadillah berkata, Sidang Kemuncak I-Nation adalah perbincangan mengenai persiapan negara menghadapi cabaran perubahan iklim dengan menggunakan sains dan teknologi.
“I-Nation berbincang mengenai kelestarian dengan cabaran perubahan iklim. Kita akan berdepan dengan perubahan cuaca ekstrem, maknanya banjir, ribut dan angin yang kuat.
“(Selain itu), bagaimana kita dapat memainkan peranan untuk kita memastikan kelestarian negara kita, keselamatan rakyat dan harta benda dapat dijaga.
“Dengan menggunakan sains, kita mampu untuk menjangka (bencana). Daripada jangkaan itu, kita akan mengurangkan berlakunya bencana dan mempersiap rakyat untuk berdepan dengan apa saja kemungkinan,” katanya. – UTUSAN










