MELAKA: Permintaan pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) pada bumbung rumah kediaman meningkat secara mendadak sejak Skim Insentif Solar Rakyat (SolaRIS) bermula 1 April lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penaung Persatuan Industri Tenaga Boleh Baharu dan Alam Sekitar (Pintare), Datuk Dr. Guntor Tobeng berkata, kuota pemasangan panel solar di bawah program permeteran tenaga bersih (NEM) bagi kategori NEM Rakyat untuk kegunaan domestik sudah habis dilanggan bulan lalu.
Kata beliau, Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA) memproses sehingga 50 permohonan sehari susulan permintaan tinggi terhadap penjanaan tenaga boleh baharu (TBB) itu.
“Baru-baru ini SolaRIS mendapat kuota tambahan sebanyak 50 megawatt (MW) dan kini tinggal 45MW lagi yang boleh dipohon untuk pemasangan pada 4,500 kediaman. Kita tidak pasti sama ada kuota sedia ada akan ditambah lagi atau tidak selepas ini.
“Justeru, saya menyeru orang ramai segera memohon SolaRIS sebelum kuota habis di samping berpeluang mendapat rebat sehingga RM4,000 per kilowatt daripada kerajaan,” katanya.
Mengulas lanjut, Guntor berkata, permintaan skim yang ditawarkan secara sewa milik itu sangat tinggi kerana menjimatkan bil elektrik sehingga 90 peratus sebulan.
Menurutnya, tiada kos pemasangan dikenakan kepada pemilik kediaman sebaliknya mereka hanya perlu membayar kos sewaan kepada pemilik aset setiap bulan selama 10 tahun.
“Walaupun membayar sewa bulanan tetapi pengguna masih lagi menikmati penjimatan bersih daripada tenaga yang dihasilkan. Sebab itu permintaan pemasangan PV bagi kawasan luar bandar dan bandar dilihat seimbang.
“Kesedaran yang semakin meningkat terhadap TBB ini secara tidak langsung membantu melancarkan dasar peralihan tenaga oleh kerajaan. Pada masa sama rakyat menikmati kualiti hidup lebih baik menerusi penjimatan kos elektrik setiap bulan,” ujarnya.-UTUSAN










