PASIR PUTEH: Seramai 38 penternak mendakwa kerugian RM2 juta selepas 100,000 ekor ikan kerapu hibrid mati setelah kawasan ternakan hidupan itu dimasuki air banjir di Taman Akuakultur Laguna Sungai Semerak, di sini Rabu lalu.
Pengerusi Persatuan Penternak Ikan Laguna Semerak, Mustapha Bakar berkata, keadaan air di laguna berkenaan bertukar keruh sejak banjir melanda menyebabkan sebahagian besar ikan kerapu mati.
Katanya, keadaan itu berlaku disebabkan muara yang baru digali di Kuala Semerak tertimbus sebelum air laut tidak boleh masuk ke lokasi penternakan.
“Penternak sudah mengambil inisiatif sendiri menyewa jengkaut dan menggunakan paip besar bagi untuk menyalurkan air ke dalam sangkar, namun gagal.
“Kami sudah mengeluarkan belanja lebih RM6,000 untuk membaik pulih muara, namun kandungan air masin tetap pada kadar 0.0 siniliti (ukuran kemasinan air) yang tidak sesuai untuk hidupan marin,” katanya ketika ditemui di Taman Akuakutur Laguna Sungai Semerak, di sini semalam.
Mustapha berkata, keadaan itu menyebabkan seorang penternak mengalami kerugian antara RM10,000 hingga RM250,000 berdasarkan purata bilangan ikan yang mati selepas bancian awal dibuat untuk dilaporkan kepada Jabatan Perikanan Kelantan.
Sementara itu, seorang penternak, Wan Ahmad Taufik Wan Shukri, 26, berkata, hampir keseluruhan ikan yang diternak di dalam 80 sangkar selama tujuh bulan terapung di permukaan air sejak Rabu lalu.
Katanya, ikan kerapu seberat 900 gram setiap ekor yang sudah mati terpaksa diangkat ke daratan berikutan bimbang berlaku jangkitan kepada ikan yang masih boleh diselamatkan.
“Harga pasaran runcit ikan kerapu hibrid dianggarkan RM30 hingga RM60 sekilogram. Kebanyakan ikan yang mati puratanya bernilai RM20 setiap ekor.
“Ikan yang diternak oleh 38 penternak di sini sepatutnya boleh dijual dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang. Akuakultur Laguna Sungai Semerak merupakan pembekal dan pengeluar ikan kerapu hibrid dan siakap terbesar di Kelantan,” ujarnya.-UTUSAN










