TAMPIN: Lebih 300 orang penduduk di Taman Pinggiran Sungai Kelamah, Gemas di sini, lega apabila benteng penahan air sementara yang menggunakan beg pasir dan bongkah yang dibina semalam berjaya mengelakkan kejadian banjir buruk seperti sebelumnya.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Pinggiran Sungai Kelamah, Mohd. Azhari Mohd. Diah berkata, gelombang ketiga banjir yang dijangka berlaku semalam itu berpotensi mengakibatkan taman tersebut kembali dilimpahi banjir.
Namun, katanya, pembinaan benteng tersebut berjaya mengurangkan kesan bencana itu apabila hanya dua daripada 14 lorong di taman perumahan itu dinaiki air.
“Apabila tengok keadaan cuaca semalam, saya segera minta bantuan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk bantu bina tembok penahan banjir yang runtuh dalam kejadian banjir baru-baru ini.
“Pelbagai agensi datang membantu mengisi pasir dalam guni untuk dijadikan benteng sementara diletakkan di kiri dan kanan tembok penahan yang runtuh.
“Alhamdulillah, ikhtiar tersebut membuahkan hasil apabila air tidak melepasi benteng guni pasir berkenaan. Dalam kejadian banjir terbaharu ini, hanya empat buah rumah di dua lorong terjejas banjir selebihnya air bergenang di atas jalan sahaja,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Tampin (MDT), Suriani Salihan berkata, lebih 70 individu bergotong-royong melibatkan kakitangan PBT, tentera, bomba, polis serta penduduk.
“Tembok sedia ada sebelum ini runtuh susulan kejadian banjir pada 29 Oktober lalu. Kerja-kerja ini bermula dari pukul 11 pagi hingga pukul 2 petang semalam menggunakan tiga lori pasir yang disumbang oleh Yayasan Negeri Sembilan,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tampin, Mohd. Fadhil Hassan berkata, sebanyak tiga buah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah ini semalam iaitu PPS Balairaya Kampung Parit Buloh, PPS Sekolah Kebangsaan Gedok dan SK Felda Sungai Kelamah membabitkan 229 mangsa daripada 62 keluarga. – UTUSAN