KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau tidak pernah ke rumah ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.
Sebaliknya, beberapa saksi pendakwaan seperti bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo dan bekas pegawai khasnya, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin berulang kali ke kediaman ahli perniagaan itu.
“Untuk rekod saya tidak pernah pergi ke kediaman Jho Low malah saya juga tidak tahu rumahnya berada di Jalan Kia Peng tetapi beberapa saksi pendakwaan yang terdiri daripada pengurusan 1MDB seperti Shahrol, Jasmine, Azmi (Bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Azmi Tahir) dan Hazem (Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Mohd. Hazem Abdul Rahman) termasuk bekas pegawai saya, Amhari telah melawat kediamannya berulang kali.
“Ini jelas menunjukkan tahap konspirasi individu-individu ini dengan Jho Low,” kata Najib.
Selain itu, merujuk kepada dakwaan ‘bekerja dalam silo’, Najib menyatakan beliau tidak pernah mengetahui mengenai cara bekerja itu di 1MDB.
Jelasnya, tindakan bekerja dalam kerahsian dalam mana-mana organisasi hanya akan menggalakan tingkap laku yang menjurus kepada penipuan.
“Berdasarkan keterangan saksi-saksi, adalah jelas tiada konsep `bekerja dalam silo’ di 1MDB. Sebaliknya berdasarkan keterangan saksi menunjukkan satu komplot yang telah disusun dengan dengan terperinci yang dilaksanakan tanpa pengetahuan saya.
“Saksi-saksi pendakwaan seperti Shahrol, Jasmine, Azmi dan Hazem yang selalu bekerja bersama walaupun mendakwa perlu bekerja secara berasingan. Ini menunjukkan usaha kerjasama di antara mereka walaupun mendakwa bertindak secara sendiri,”ujar Najib.
Sementara itu, merujuk kepada dakwaan Amhari bahawa beliau melaksanakan cara kerja yang digelar sebagai `Tembok Cina’, Najib menyatakan cara sedemikian adalah perlu.
“Sebagai Perdana Menteri, di Pejabat Perdana Menteri, saya mengendalikan pelbagai isu kritikal membabitkan kepentingan negara, yang memberikan saya akses kepada maklumat sensitif dan kerahsiaan yang tinggi. Adalah penting atas dasar kepentingan kerahsiaan dan keselamatan, arahan tertentu yang diberikan kepada pegawai saya kekal dirahsiakan.
“Ada ketika maklumat (yang diterima) adalah terlalu sensitif sehingga dilindungi mengikut Akta Rahsia Rasmi. Jadi, lebih sedikit orang yang mengetahuinya adalah lebih baik. Kerahsiaan ini adalah penting bagi menjaga isu-isu sensitif dan rahsia rasmi dan bukannya untuk mengasingkan sebarang maklumat bagi tujuan jahat,” ujarnya.
Selain itu Najib berkata, apabila beliau memberikan arahan tertentu kepada individu tertentu, ia bukan bermakna `bekerja dalam silo’ sebaliknya adalah satau protokol biasa bagi menjaga kerahsiaan dan integriti kerja-kerja yang dilakukan oleh Perdana Menteri.
“Seperti yang disahkan oleh Amhari sewaktu disoal balas, tiada benda jahat mengenai cara kerja ini di Pejabat Perdana Menteri. Cara kerja sedemikian adalah bagi memastikan pengendalian isu kritikal sejajar dengan cara penjagaan maklumat sensitif dan rahsia dengan mengehadkan akses (kepada maklumat rahsia),” kata Najib.
Najib berkata demikian ketika menyambung membaca pernyataan saksinya setebal 525 muka surat pada hari kedua beliau membela diri atas atas 25 pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM2.3 bilion 1MDB di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) bersambung petang ini.-UTUSAN